Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


PEKAN: Perjalanan menuju ke sekolah bagi guru, Samuel Isaiah, 32, semalam tidak seperti biasa, hatinya bercampur baur memandangkan ia adalah hari terakhir dirinya bergelar guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Runchang, di sini.

Guru yang pernah mendapat Anugerah Guru Adiwira 2019 itu bakal melanjutkan pelajaran ke State University of New York di Amerika Syarikat dalam jurusan Sarjana Sains Kepimpinan dan Polisi Pendidikan.

Kisahnya mula menjadi perhatian apabila inisiatifnya memperkenalkan ‘Sekolah Pokok’ dan mengajar Bahasa Inggeris menggunakan alat muzik ukulele untuk murid Orang Asli di perkampungan Runchang itu tular awal tahun ini.

Suasana sayu mula menyelubungi sebuah kelas tahun empat di sekolah berkenaan apabila suara esakan murid kedengaran, malah ada di antara mereka langsung tidak mahu berenggang dengannya.

“Ini antara sebab hati saya berat meninggalkan mereka kerana saya sudah anggap mereka seperti anak saya sendiri, hubungan kami seakan seperti sebuah keluarga.

“Melihat perkembangan dan prestasi mereka yang semakin meningkat, menjadi penguat semangat untuk saya berulang alik hampir 200 kilometer setiap hari untuk mengajar mereka selama tempoh lapan tahun ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

SAMUEL  memeluk murid pada majlis perpisahan di SK Runchang.
SAMUEL memeluk murid pada majlis perpisahan di SK Runchang.

Anak jati Kuantan itu berkata, bukan dia sahaja yang berjaya mengubah pemikiran dan sikap murid Orang Asli terhadap pendidikan, tetapi dalam masa sama mereka juga banyak mengubahnya dan mengajarnya erti kehidupan.

Menyifatkan pengalamannya sepanjang di sekolah itu sebagai sangat berharga dan terindah, Samuel berkata, keputusannya untuk menyambung pelajaran itu didorong dengan keinginan untuk terus berbakti untuk masyarakat Orang Asli.

Katanya, sepanjang mengajar di sekolah Orang Asli, isu berkaitan infrastruktur tidak menjadi kekangan namun masalah terbesar yang perlu dihadapinya adalah persepsi negatif sesetengah pihak terhadap masyarakat itu.

Beliau berkata, pihak sekolah akan meneruskan program Sekolah Pondok itu dengan pembabitan semua guru namun mungkin pendekatan yang digunakan sedikit berbeza berbanding dirinya.

“Saya gembira apabila projek dan program yang saya gerakkan sebelum ini memberi inspirasi kepada rakan lain, sekurang-kurangnya murid Orang Asli ini mempunyai peluang memajukan diri meskipun tinggal jauh di pedalaman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 5:40 AM