BERSAMA anak muridnya untuk mempersembahkan tarian tradisional.
BERSAMA anak muridnya untuk mempersembahkan tarian tradisional.
Hafiz Ithnin

"SAYA ingin melihat anak-anak Orang Asli ini terus melanjutkan pelajaran," ujarnya kepada penulis tat kala ditanya mengenai harapannya di akhir kata.

Ternyata perjalanan wanita dari suku Jakun ini menjadi seorang pendidik bukan mudah. Hasil ketegasan bapa dan ibunya yang mengetahui pendidikan mampu merubah kehidupan seseorang, kini dia mencurahkan ilmu yang ada untuk kaum orang asli khasnya.

Jelas pemilik nama Mastra Irfa Nasrun, 30, ketika dia menuntut di sekolah menengah, dia juga pernah terlintas untuk berhenti sekolah atau cukup hanya di peringkat sekolah rendah sahaja.

"Ketika itu, kawan-kawan rapat saya kebanyakan sudah pun berhenti sekolah dan saya juga mempunyai rasa yang sama kerana merasakan bersekolah bukanlah sesuatu yang penting.

"Syukur saya mempunyai kedua ibu bapa yang cukup tegas supaya kami adik beradik semua melanjutkan pelajaran sehingga ke universiti. Jika hanya mengikutkan rasa degil jiwa muda mungkin saya tidak berada di sini," katanya yang kini bergelar seorang guru.

Hasil usahanya, Mastra mendapat keputusan yang agak baik ketika menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia iaitu 5A dan seterusnya melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas.

MASTRA ingin menjadi contoh kepada anak muridnya.
MASTRA ingin menjadi contoh kepada anak muridnya.

Mastra mempunyai lapan orang adik beradik dan dia adalah anak sulung. Daripada lapan beradik, empat daripadanya sudah ke universiti dengan mengikuti pelbagai jurusan.

Dia yang kini mengajar di Sekolah Kebangsaan Payong Pinang di Johor sejak April 2018, melihat mendekati jiwa anak Orang Asli dari Orang Asli sendiri sememangnya perlu kerana kaum itu mempunyai rasa malu yang sangat tebal. Lebih-lebih lagi jika mereka masih kanak-kanak.

Katanya, apabila terdapat guru dalam kalangan Orang Asli sendiri yang mengajar murid Orang Asli, kanak-kanak itu lebih mempunyai rasa percaya dan mudah untuk meluahkan rasa.

"Orang Asli ini mempunyai rasa malu yang agak tebal apabila berdepan dengan orang luar. Jadi, apabila mereka mengetahui ada dalam kalangan guru Orang Asli sendiri yang akan mengajar, mereka akan merasa teruja.

"Selain itu, saya juga adalah dalam kalangan Orang Asli dari suku Jakun dan anak-anak di sekolah ini kebanyakan mereka adalah dari suku saya. Jadi, bahasa untuk berkomunikasi juga lebih mudah walaupun kadang kala ada juga slanga atau kosa kata yang sedikit berbeza digunakan kerana saya dari Pahang," katanya.

Katanya, sepanjang menjadi pendidik, dia tidak terkecuali berdepan dengan cabaran apabila anak didiknya tidak mahu ke sekolah atas pelbagai sebab. Malah, dia dan rakan-rakan guru sanggup pergi ke rumah murid untuk mengetahui faktor mereka tidak mahu ke sekolah.

MASTRA ingin melihat anak didiknya berjaya.
MASTRA ingin melihat anak didiknya berjaya.

"Perkara yang paling saya ingat dan sebak apabila ada seorang anak murid saya yang ingin ke sekolah tetapi ibu dan bapanya tidak mempunyai wang.

"Anak murid saya ini berjumpa dengan saya dan mengatakan dia begitu minat untuk bersekolah. Namun, ibu dan bapanya tidak mampu lagi. Jadi kami guru-guru di sekolah berbincang dan mengadakan kutipan derma. Malah, pihak jabatan pendidikan turut turun padang untuk membantu anak ini. Akhirnya, kini dia dapat kembali ke sekolah," katanya.

Tambahnya lagi, antara kisah lain yang tidak dapat dilupakan apabila ada antara ibu bapa yang tidak mahu membuka pintu apabila mereka datang ke rumah untuk bertanya mengenai kenapa anak mereka tidak ke sekolah.

"Ibu bapa ini sanggup duduk sahaja di dalam rumah dan berdiam diri walaupun kita sudah mengetuk pintu berkali-kali kerana ingin bertanya masalah anak tidak ke sekolah. Jadi ini antara cabaran yang perlu saya perlu depani untuk memastikan anak-anak Orang Asli ini tidak ketinggalan dalam dunia akademik," katanya.

Mastra berkata, di sekolah dia mengajar dalam subjek muzik, pendidikan jasmani dan Bahasa Malaysia. Dia melihat muzik mampu menjadi tarikan kepada anak-anak Orang Asli ke sekolah.

AKTIF mendidik menerusi muzik.
AKTIF mendidik menerusi muzik.

"Anak-anak Orang Asli ini apabila masuk ke subjek muzik mereka memang akan rasa bersemangat. Boleh saya katakan apabila waktu subjek itu mereka tidak akan lewat datang.

"Jadi, saya gunakan platform muzik untuk menjadikan pendidikan di sekolah ini sesuatu yang menyebabkan mereka seronok untuk datang ke sekolah setiap hari. Saya mengajar mereka bermain pelbagai alat muzik antaranya ukulele," katanya yang menubuhkan sebuah kelab muzik di sekolahnya.

Katanya, dia merasa puas apabila melihat anak didik dalam kalangan Orang Asli bersemangat ke sekolah dan terus melanjutkan pendidikan sehingga ke tahap tertinggi.

"Saya bangga apabila anak murid saya tidak melihat pendidikan di sekolah sesuatu yang membosankan. Saya ingin menjadi contoh kepada murid-murid yang membuktikan Orang Asli juga mampu berjaya dalam pelbagai bidang," katanya.

MASTRA (berdiri kanan sekali) ketika majlis graduasi bersama rakan-rakannya.
MASTRA (berdiri kanan sekali) ketika majlis graduasi bersama rakan-rakannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 7:00 AM