Anak-anak murid Samuel turut membuat persembahan sebagai ‘hadiah’ pada hari perkahwinannya. FOTO Ihsan Samuel Isaiah
Anak-anak murid Samuel turut membuat persembahan sebagai ‘hadiah’ pada hari perkahwinannya. FOTO Ihsan Samuel Isaiah
Amirul Haswendy Ashari


“WALAUPUN mahu ‘anak-anak’ ini menjadi sebahagian daripada majlis perkahwinan saya, pelbagai perkara difikirkan.

“Siapa akan kecewa kalau tak dapat hadir, adakah ibu bapa mereka izinkan, kos pengangkutan dan paling penting, adakah isteri boleh terima?” luah guru Bahasa Inggeris, Samuel Isaiah, 32.

Guru itu terharu dengan kesungguhan hampir 100 anak murid Orang Asli suku Jakun yang sanggup meredah perjalanan sejauh 200 kilometer semata-mata meraikan hari perkahwinannya dua tahun lalu.

Perkongsian guru dari Sekolah Kebangsaan Runchang, Pekan di laman sosial Facebook dan Twitter mengenai kisah itu sejak semalam mengundang pelbagai reaksi terutamanya perasaan bangga dan terharu daripada warganet.

Samuel ketika dihubungi berkata, dia berkongsi semula kenangan itu sebagai ‘throwback’ di laman sosial kerana kebetulan adiknya baru saja mengadakan majlis perkahwinan minggu lalu.

Menurut Samuel, semua anak muridnya berusia lingkungan lapan hingga 12 tahun sangat teruja dapat hadir ke majlis perkahwinannya dengan Dr Shanti Mugunen, 31, di Kuantan pada 18 November 2017.

“Sebelum majlis bermula, mereka sudah teruja dan teringin sangat untuk hadir meraikan hari bahagia saya.

“Ibu bapa mereka juga menyokong dengan membenarkan anak-anak mereka hadir pada majlis saya.

“Saya mengambil masa hampir dua bulan untuk mengurus mereka datang sebab pengangkutan dari Kampung Runchang agak sukar pada masa itu jadi saya perlu merancang selain kos agak tinggi,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai usaha dilakukannya dengan bantuan rakan guru lain, Samuel berkata, seminggu sebelum majlis dia menyerahkan surat memohon pelepasan kepada anak-anak muridnya untuk diserahkan kepada ibu bapa mereka.

Samuel dan isteri (duduk tengah) bersama sebahagian anak murid Orang Asli yang hadir pada majlis perkahwinannya. FOTO Ihsan Samuel Isaiah
Samuel dan isteri (duduk tengah) bersama sebahagian anak murid Orang Asli yang hadir pada majlis perkahwinannya. FOTO Ihsan Samuel Isaiah

Dia juga terpaksa menghadkan kepada 50 anak murid kerana hanya mampu menyewa sebuah bas saja yang menelan belanja hampir RM1,000.

“Syukur rakan saya beri diskaun RM300 dan saya hanya perlu bayar RM700 saja.

“Bagaimanapun beberapa hari sebelum majlis, saya dapat panggilan telefon daripada beberapa bekas anak murid yang turut menyatakan hasrat mahu hadir ke majlis saya.

“Ketika itu saya mulai risau memikirkan soal kos kerana pastinya saya perlu menyewa sebuah bas lagi,” katanya.

Menurutnya, mujurlah bas yang disewa mempunyai ruang tempat duduk luas dan mampu menampung 60 kanak-kanak selain dua guru pengiring.

Malah beberapa anak murid lagi menaiki kereta dipandu guru lain yang turut berkonvoi bersama.

Katanya, ada juga beberapa bekas anak murid sanggup bersusah payah menaiki bas ‘lompat’ dari Pekan ke Kuantan semata-mata tidak mahu melepaskan peluang meraikan hari bersejarahnya.

“Saya dan isteri mengalirkan air mata melihat mereka hadir dengan wajah ceria.

“Mereka teruja melihat isteri saya seperti seorang puteri malah ada beberapa anak murid terkejut melihat saya memakai pakaian tradisi India,” katanya ketawa mengenangkan reaksi mereka.

Dia juga bertambah terharu apabila ada kalangan anak murid membuat persembahan tarian pada majlis itu bagi menghiburkan tetamu lain.

“Saya tidak akan melupakan ‘anak-anak’ saya ini kerana hidup saya tidak lagi sama sejak mengenali mereka pada 2012.

“Mereka ialah hero saya yang memberi impak di luar jangkauan dan saya sangat bersyukur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 7:59 PM