DR Zainal Aalam  (dua dari  kanan) menanam pokok merasmikan program gotong-royong sempena Jelajah Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ahmad.
DR Zainal Aalam (dua dari kanan) menanam pokok merasmikan program gotong-royong sempena Jelajah Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ahmad.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Pekan: Kelas dicat baru, kawasan persekitaran dicantikkan dengan tanaman pokok dan struktur bangunan dibaiki sekali gus mengubah wajah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ahmad, di sini, yang berusia 92 tahun menjadi lebih menarik.

Semua usaha itu dilakukan kira-kira 200 pelajar, guru, ibu bapa dan pegawai Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) apabila mereka berganding bahu dalam Program Gotong-Royong Pengurusan Tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu.

Ia adalah sebahagian acara sempena Jelajah Pendidikan KPM 2017 yang diadakan di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah, di sini, selama dua hari bermula Sabtu lalu.

Program gotong-royong bermula jam 10 pagi dan dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Pembangunan Profesionalisme Keguruan) Dr Zainal Aalam Hassan.

Zainal Aalam turut meninjau beberapa projek dilakukan pelajar antaranya pameran lukisan, ikhtiar hidup dan menyediakan alat bantu mengajar.

SEBAHAGIAN guru dan pelajar  menanam pokok pada  program gotong-royong di SMK Ahmad.
SEBAHAGIAN guru dan pelajar menanam pokok pada program gotong-royong di SMK Ahmad.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata, kementerian menyediakan peruntukan sebanyak RM20,000 bagi kerja penyelenggaraan kecil sekolah berkenaan.

“Walaupun jumlah itu agak kecil, namun ia sedikit-sebanyak dapat membantu pihak sekolah menyelenggarakan bangunan atau persekitaran sekolah supaya memberikan keselesaan kepada pelajar.

“Selain itu, pihak PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) bersama masyarakat setempat boleh mengambil inisiatif untuk mendapatkan lebih banyak sumbangan atau dana,” katanya.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Pahang Datuk Mohd Rosdi Ismail dan Pengetua SMK Ahmad Hasimah Abdul Ghaffar.

Zainal Aalam berkata, objektif program itu adalah untuk merapatkan jurang antara pihak kementerian dengan masyarakat setempat serta turut memberikan peluang kepada orang ramai berhubung dengan pegawai di kementerian secara lebih rapat.

Katanya, melalui program itu pegawai kanan dan pengurusan tertinggi KPM dapat melihat sendiri keadaan sekolah daripada segi infrastruktur serta fizikal yang mungkin memerlukan penyelenggaraan atau pembaikan segera.

Sementara itu, Hasimah berkata, peruntukan sebanyak RM20,000 akan digunakan untuk melengkapkan kelas Pembelajaran Abad ke-21 (PA21) manakala selebihnya untuk menyelenggara bangunan sekolah.

PELAJAR bersama-sama menghias kelas di SMK Ahmad.
PELAJAR bersama-sama menghias kelas di SMK Ahmad.

“Sekolah ini sudah berusia 92 tahun tahun, jadi pastinya keadaan bangunan sudah usang sekali gus memerlukan penyelenggaraan segera untuk keselesaan pelajar.

“Selain itu, kita juga akan melengkapkan kelas PA21 dengan kemudahan terkini antaranya skrin LCD dan alat bantu mengajar yang bersesuaian,” katanya.

Pelbagai aktiviti dan acara dirangka sepanjang Jelajah Pendidikan KPM itu termasuk penganjuran Fiesta Prasekolah, Fiesta Sekolah Menengah/Komuniti, Sekolah Rendah dan Sekolah Jenis Kebangsaan.

Pada Sabtu, aktiviti dianjurkan adalah pertandingan joget Melayu, pertandingan Sains, pertandingan hiasan kek cawan, gubahan serta nyanyian.

Lebih banyak aktiviti menarik dianjurkan semalam, antaranya Ikon Murid dan Guru yang memaparkan perkongsian kejayaan ikon murid dan guru serta tayangan video dan eksplorasi kerjaya.

Selain itu, turut diadakan persembahan Tarian Gendang 24 Musim, Gendang India, Kompang Formasi dan live band yang dipersembahkan pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 9:29 AM