Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Redzuan Muharam dan Iqhram Ahmad


PADA bahagian belakang jelas tertera tulisan ‘Tidak Diperjual Belikan.’ Bagaimanapun pil perancang keluarga untuk kegunaan klinik dan hospital awam di negara jiran Indonesia ini sebaliknya bersepah di pasaran tempatan.

Pil berkenaan yang dipercayai diseleweng dan diseludup masuk ke negara ini dikesan bebas dijual kepada orang ramai di kebanyakan kedai-kedai ubat-ubatan tradisional dan toko jamu.

Setiap papan pil perancang keluarga atau dikenali sebagai ‘Pil Keluarga Berencana’ ini dipasarkan pada harga sekitar RM3 hingga RM4 setiap satu.

Setiap papan yang mengandungi 28 biji pil perancang keluarga dipercayai dibawa masuk sindiket yang turut memasarkan pil rangsangan seks serta pelbagai ubat-ubatan tidak berdaftar keluaran Indonesia.

Berdasarkan penelitian pada pil perancangan keluarga seludup yang berjaya dibeli, rata-rata pil berkenaan mempunyai tarikh luput antara tahun 2021 hingga 2023.

Ini membuktikan pil perancang keluarga terbabit masih baru diseludup masuk ke Malaysia selain permintaan tinggi dalam kalangan pembeli tempatan dan juga warga asing.

Melalui tinjauan wartawan sejak sebulan lalu, lokasi kedai-kedai produk kecantikan dan kesihatan sekitar Chow Kit, Keramat, Cheras di Kuala Lumpur selain Ampang, Gombak dan Kajang, Selangor menjadi lubuk penjualan pil perancang keluarga ini.

Tiada syarat khusus ditetapkan berikutan sesiapa sahaja dibenarkan membeli pil perancang keluarga Indonesia ini termasuk golongan remaja dan lelaki.

PENGUAT kuasa farmasi merampas ubat-ubatan yang tidak diluluskan KKM. FOTO arkib NSTP
PENGUAT kuasa farmasi merampas ubat-ubatan yang tidak diluluskan KKM. FOTO arkib NSTP

Malah tindakan wartawan menyamar dengan turut menggunakan khidmat ‘pembeli’ remaja untuk membeli pil perancang keluarga ini tidak berdepan pelbagai halangan.

Tindakan wartawan menggunakan kamera intip ketika urusan jual beli membuktikan pil ini dijual bebas hampir di semua premis dikunjungi.

Berikut adalah sesi perbualan antara wartawan Harian Metro yang menyamar bersama penjual pil perancang keluarga ditemui di Chow Kit di sini, kelmarin.

Wartawan (W): Salam, nak tumpang tanya. Ada jual tak ubat perancang keluarga murah?

Peniaga (P): Ada, kejap ya. (sambil mengambil kotak dari dalam almari)

W: Berapa harga untuk sepapan pil perancang keluarga ni?

P: Harga untuk sepapan RM4. Tapi kalau abang ambil tiga papan, saya bagi harga RM10.

W: Macam mana cara nak makan ni?

P: Oh, cara makan dia, ikut je gambar anak panah seperti tertera. (sambil menunjuk anak panah dibelakang pil perancang dijual)

W: Oh begitu, jadi makan sehari sekali? Bila nak kena makan ubat ni? Pagi? Petang? Malam?

P: Kebiasaannya makan dia pada waktu pagi.

W: Ok. Kalau macam tu bagi saya dua papan. Dua papan boleh dapat harga RM5 tak?

P: Boleh. ( sambil memasukkan pil perancang keluarga ke dalam plastik)

W: Ada tak golongan maknyah yang beli pil ini?

P: Ramai juga. Pil ini sama macam pil hormon. boleh lembutkan kulit, tumbuhkan payudara. Tukar lelaki jadi wanita. Tapi kena makan selalu sampai tukar sepenuhnya.

PIL perancang keluarga Indonesia yang mudah dibeli di pasaran tempatan. FOTO arkib NSTP
PIL perancang keluarga Indonesia yang mudah dibeli di pasaran tempatan. FOTO arkib NSTP

Terpengaruh dakyah songsang rakan

“Saya menyesal kerana terlalu ikutkan nafsu. Akibatnya kini bulu kening hilang manakala payudara kekal sama seperti ketika mengambil pil hormon,” ujar Aiman, 35 (bukan nama sebenar) yang pernah memakan pil perancang keluarga untuk memiliki tubuh persis wanita sebelum ini.

Katanya, dia memakan pil perancang keluarga bermula usia 20 tahun selepas terpengaruh dengan rakan yang memberi nasihat songsang.

Katanya, ketika itu, dia tidak memikirkan langsung kesan sampingan jangka masa panjang sebaliknya hanya mahukan kulit cantik dan payudara seperti wanita tulen.

“Ketika zaman persekolahan, saya cenderung berperwatakan lembut cuma ketika itu sekadar suka bergaul dengan rakan perempuan.

“Segalanya berubah ketika usia 19 tahun apabila saya mula berkawan dengan mak nyah hingga timbul keinginan ubah penampilan seperti mereka.

“Bermula dengan memakai pakaian wanita, saya kemudiannya mengambil pil perancang keluarga atas galakan rakan,” katanya.

Menurut Aiman, dia tidak pernah mendapatkan nasihat doktor sepanjang mengambil pil perancang sebaliknya lebih selesa menjadikan rakan sebagai tempat rujukan.

“Apa yang saya mahu ketika itu adalah menjadi cantik seperti mereka dan tidak ambil tahu langsung mengenai bahan dalam pil itu kerana membelinya daripada rakan.

BEKAS mak nyah, Mohd Khariri atau dikenali Cikgu Erin. FOTO Syarafiq Abd Samad
BEKAS mak nyah, Mohd Khariri atau dikenali Cikgu Erin. FOTO Syarafiq Abd Samad

“Saya juga makan lebih daripada jumlah yang disyorkan iaitu empat biji sehari. Usaha itu berkesan apabila hasil diinginkan muncul seminggu kemudian,” katanya.

Bagi mendapatkan kesan maksimum, dia memberanikan diri mengambil suntikan hormon.

“Gaji bulanan banyak dihabiskan beli pil perancang dan melakukan rawatan berkenaan. Namun kesan buruk mula timbul apabila emosi saya menjadi tidak menentu, lemah jantung, sakit tulang belakang dan kaki serta tangan menjadi kebas.

“Kesan sampingan paling ketara dapat dilihat selepas berhenti mengambil pil perancang keluarga apabila dadanya yang membesar menjadi payudara tetap tidak mengecut.

“Saya mula berhenti mengambil suntikan hormon dan pil perancang keluarga selepas ayah jatuh sakit pada tahun 2014.

“Saya sangkakan bentuk badan akan kembali seperti biasa selepas itu namun payudara tetap ada dan bulu kening juga kekal nipis,” katanya.

Bagi menyembunyikan bentuk payudaranya itu, dia kerap memakai baju hitam selain menyimpan misai dan janggut untuk kelihatan maskulin.

Seorang lagi bekas mak nyah, Mohd Khariri Mohamad Ramli atau lebih dikenali dengan nama Cikgu Erin berkata, keinginan mengubah penampilan adalah atas kehendak sendiri dan bukan kerana terpengaruh dengan rakan semata-mata.

“Semuanya atas keinginan sendiri dan saya cakap berdasarkan pengalaman sendiri yang ketika itu terlalu ikutkan nafsu remaja.

“Cuma, saya ada mendapatkan nasihat doktor ketika itu tetapi tetap mendapat kesan sampingan apabila bentuk payudara kekal hingga terpaksa menjalani pembedahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 10:00 AM
BUKTI tulisan menunjukkan pil perancang berkenaan adalah pil subsidi untuk kegunaan klinik dan hospital di Indonesia. FOTO arkib NSTP
BUKTI tulisan menunjukkan pil perancang berkenaan adalah pil subsidi untuk kegunaan klinik dan hospital di Indonesia. FOTO arkib NSTP