HANNAH akur dengan tuntutan tugas.  FOTO: Saddam Yusoff
HANNAH akur dengan tuntutan tugas. FOTO: Saddam Yusoff
Syanty Octavia Amry


TERUJA kali pertama digandingkan bersama, Hannah Delisha dan Shukri Yahaya tiada masalah untuk mencari keserasian menerusi drama bersiri lakonan mereka berjudul 30 Pesanan Suara.

Drama terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd itu ditayangkan sepanjang Ramadan di slot Akasia TV3 pada jam 7 malam.

Hannah, 22, ketika ditemui RAP berkata, pada awalnya dia tidak menyangka Shukri seorang yang mudah dan menyenangkan.

“Ini kali pertama kami digandingkan. Apabila berada di lokasi dan melihat sikap Shukri, kami senang bekerjasama. Sikap gila-gilanya membuatkan kami rasa seperti suasana sedang bercuti dan bukannya bekerja. Tidak susah untuk kami mencari keserasian bersama menerusi drama ini,” katanya.

Bagi Shukri, Hannah seorang yang sangat membantu, apatah lagi dia yang baru selesai menjalani penggambaran drama lain berada di lokasi untuk watak lain juga begitu mencabar.

“Hannah sering mengingatkan saya untuk babak seterusnya. Kadang-kadang saya susah hendak ingat maklumlah setiap babak yang dibuat bukanlah mengikut turutan.

“Jadi, apabila sudah penat kadang-kadang saya terlupa, Hannah sangat-sangat membantu dan sering mengingatkan saya,” katanya.

Drama yang baru selesai penggambarannya itu turut mengambil waktu Ramadan, oleh itu kedua-dua mereka akur apabila perlu berlakon pada bulan puasa.

“Jika diikutkan saya tidak ambil tawaran berlakon waktu Ramadan kerana waktu inilah saya dapat meluangkan masa bersama keluarga. Tetapi drama ini terlajak sampai Ramadan jadi saya ikutkan saja. Selesai saja penggambaran saya kembali fokus dengan keluarga selain bersolat Tarawih dan menghadiri majlis berbuka puasa,” katanya.

Hannah pula berkata, ini kali kedua dia berlakon ketika Ramadan namun masih berasa penat.

“Kali pertama saya berlakon ialah Ramadan tahun lalu untuk drama Mencintaimu Mr Photographer, ketika itu memang rasa penat sangat-sangat.

“Mungkin kerana pertama kali berlakon pada bulan puasa. Kali ini okey sikit tetapi masih terasa penat,” katanya.

SHUKRI bijak membahagikan masa antara kerja dan keluarga.
SHUKRI bijak membahagikan masa antara kerja dan keluarga.

BAWA ISTERI BERCUTI SETIAP TAHUN

Kesibukan sebagai pelakon kadang-kadang memerlukan Shukri bijak membahagikan masa antara kerja dan keluarga. Disebabkan itu, dia sentiasa mengambil peluang untuk membawa keluarga bercuti tidak kira dalam negara atau luar negara.

“Jika tahun lalu saya terlalu sibuk sampai tiada masa untuk bawa keluarga bercuti, tahun ini saya cuba luangkan lebih masa bersama keluarga.

“Biasanya isteri yang akan pilih negara mana untuk kami pergi. Saya serahkan semua kepadanya asalkan dia gembira,” katanya.

HANNAH MAHU LAGU BARU

Hannah yang memulakan kerjaya sebagai penyanyi berharap impian untuk tampil dengan lagu baharu tahun ini akan terlaksana selepas sering tertangguh. Dia tidak mahu bakatnya sebagai penyanyi berkubur begitu saja.

“Sejak mula aktif berlakon, orang semakin lupa saya adalah penyanyi. Saya tak nafikan lakonan lebih menyerlah berbanding nyanyian.

“Tahun ini saya berharap sekurang-kurangnya dapat tampil dengan satu lagu. Sasaran saya dapat menghasilkan satu lagu setiap tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 5:30 AM