Hannah Delisha
Hannah Delisha
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelakon Hannah Delisha, 27, berhasrat menimang empat cahaya mata bersama suaminya Imam Shah, 34, jika ada rezeki suatu hari nanti.

Hannah atau nama sebenar Hannah Adlina Blackburne Birch berkata mereka bagaimanapun masih merancang mengenai soal zuriat dan tidak ingin tergesa-gesa buat masa sekarang.

"Saya dan Imam memang sudah terfikir pasal ada zuriat. Tapi itu semua atas keizinNya juga. Alangkah baik jika dikurniakan dua anak tapi kalau Allah nak bagi rezeki lebih, empat anak sudah cantiklah. 

"Tanggungjawab ada anak ini sangat besar. Bahkan, jaga kucing sekali pun tanggungjawab sangat besar. Apatah lagi seorang anak. Kami nak pastikan betul-betul bersedia kerana bila ada anak, saya mahu luangkan masa sebaiknya dengan anak saya. Juga beri perhatian penuh kepadanya.

"Kita tengoklah nanti, bila saya rasa kerja macam tak terlalu sibuk, kami cubalah. Tapi itulah, apa sekalipun, akhirnya nanti ia bergantung kepada keizinan Allah," katanya.

Hannah berkata dia perlu mengumpul kekuatan untuk benar-benar bergelar ibu. Ini kerana dia tahu tanggungjawab itu apalagi buat wanita yang bekerja memang sangat mencabar.

"Terus-terang, saya memang kagum sangat dengan ibu-ibu yang boleh kerja dan pada masa sama jaga anak. Bukan mudah sebab mak saya sendiri pun seorang ibu tunggal. Saya nampak cabaran dia jaga dan besarkan anak sambil bekerja.

"Setakat ini, orang sekeliling pun tak menekan saya pasal zuriat. Kalau diaju soalan itu, saya cuma minta mereka doakan agar saya beroleh rezeki kelak," katanya.

Hannah dan Imam yang juga pelakon dari Singapura mendirikan rumah tangga sekitar Feb 2021.

Pelakon terbabit ditemui pada sidang media dan pratonton drama baharu lakonannya berjudul Andai Itu Takdirnya yang diadaptasi daripada novel nukilan Siti Rosmizah, semalam.

Drama yang turut menampilkan Shukri Yahaya, Puteri Sarah Liyana, Idzham Ismail, Dayang Areeda, Zulkifli Ismail, dan Aida Khalida itu mula ditayangkan 6 Mac depan di saluran Astro Ria (Astro 104).

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 2:13 PM