IQBAL M dilamar syarikat rakaman milik M Nasir. FOTO: Aziah Azmee
IQBAL M dilamar syarikat rakaman milik M Nasir. FOTO: Aziah Azmee
Georgie Joseph


MENYIMPAN angan-angan menembusi arus perdana, impian band yang digelar Iqbal M tercapai apabila dilamar syarikat rakaman Luncai Emas milik Datuk M Nasir.

Dianggotai Muhammad Iqbal Othman atau Iqbal sebagai penyanyi, Aidil Azali (dram), Johan Ariff (gitar), Shah Salleh (bass), Al-Hafiz Dolmat atau Fei (gitar), Iqbal M ibarat mendapat nafas semula dalam industri muzik.

Ini kerana sebelum ini mereka cuma berkarya dalam diam dan tiada syarikat rakaman cuba melamar. Bagaimanapun, ternyata Luncai Emas yakin band itu boleh dibimbing untuk pergi jauh.

“Mungkin album sulung kami hanya tinggal angan-angan sekiranya tidak menerima tawaran bernaung di bawah syarikat rakaman ini. Sebelum ini kami banyak duduk di sebalik ‘belukar’ saja dan tidak sangka akhirnya dapat lancarkan album.

“Tiada syarikat rakaman lain berminat melamar kami, cuma Luncai Emas saja yakin mahu membimbing kami. Alhamdulillah, peluang itu akan kami gunakan sebaik-baiknya disebabkan inilah masanya untuk mengetengahkan karya Iqbal M,” kata Iqbal.

Mempertaruhkan muzik indie rock, Iqbal mengakui kekuatan karya mereka adalah penceritaan yang mendalam. Itulah pendekatan menghasilkan lagu dalam album sulung mereka berjudul Perasaan Sedih Jangan Kau Bimbang (PSJKB).

Menurutnya, mereka cuba menekankan mesej yang kuat dalam setiap lagu supaya mampu menyentuh jiwa pendengar.

“Ada lapan lagu dalam album itu yang kami cipta sendiri. Kami cuba menghasilkan lagu yang bercerita mengenai kehidupan dan orang ramai boleh kaitkan setiap mesej dengan cerita hidup mereka.

“Contohnya lagu Seri Dewi Damak yang saya tulis mengenai kucing saya. Kalau Tewas Nanti Parah ditulis Johan. Semuanya mengenai kisah peribadi kami. Selagi mesej kami sampai, itu sudah cukup memadai. Alhamdulillah, penjualan album agak memberangsangkan. Pada hujung Januari lalu, lebih 1,000 unit terjual dalam tempoh dua minggu dan permintaannya semakin meningkat sekarang,” katanya.

Berkongsi mengenai cara berkarya, Iqbal bersyukur kreativiti mereka tidak tergugat sekalipun bernaung di bawah syarikat rakaman itu. M Nasir turut menyokong supaya band itu kekalkan keaslian karya mereka.

“Beliau tidak menyekat langsung kreativiti kami dan diberikan kebebasan berkarya mengikut hala tuju muzik kami. Kami bersyukur syarikat rakaman juga sukakan keaslian yang ada pada band ini dan menyokong penuh.

“Banyak kelebihan yang kami dapat sebenarnya apabila berada di bawah syarikat rakaman. Jika sebelum ini, kami tergesa-gesa mahu siapkan rakaman lagu disebabkan bajet terhad untuk menyewa studio.

“Namun, kini tidak lagi dengan adanya kemudahan Luncai Emas selain peruntukan wang membuat album. Kami juga lebih banyak masa memerah otak tanpa kelam-kabut,” katanya.

Iqbal M yang ditubuhkan di Kuala Lumpur mula aktif pada 2010 dan ketika itu hanya dianggotai Iqbal seorang.

Pada 2013, Iqbal M melengkapkan formasi dengan tambahan empat anggota lagi. Pada tahun sama mereka tampil dengan EP berjudul Antara 2 Darjat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 5:00 AM