PELAKON Filem Bella & Jamie, Che Puan Juliana Evans dan Liyana Jasmay pada Pra Tonton Filem Bella & Jamie di Golden Screen Cinemas (GSC) Pavilion, Bukit Bintang. FOTO/AZHAR RAMLI
PELAKON Filem Bella & Jamie, Che Puan Juliana Evans dan Liyana Jasmay pada Pra Tonton Filem Bella & Jamie di Golden Screen Cinemas (GSC) Pavilion, Bukit Bintang. FOTO/AZHAR RAMLI
Norhayati Nordin


Menjalin persahabatan mungkin mudah, tapi untuk mendapatkan seorang sahabat sejati ternyata agak sukar.

Namun, masih ada yang bernasib baik bertemu sahabat sejati seperti pelakon Liyana Jasmay dan Che Puan Juliana Evans.

Siapa sangka persahabatan dijalin dua wanita popular ini sudah lebih sedekad tanpa sebarang masalah.

Malah, dalam tempoh yang lama itu juga belum pernah mereka tikam belakang, iri hati atau bergaduh.

Bersua kedua-duanya ketika pratonton filem Bella & Jamie baru-baru ini, keakraban dijalin sangat terserlah dan bagaikan adik-beradik.

Liyana, 31, berkata, dia memang selesa dengan Juliana dan atas sebab itu mereka bergandingan dalam filem berkenaan yang berkisar mengenai keluarga dan persahabatan.

“Hubungan rapat saya dan Juliana membuatkan kami sentiasa mudah bekerjasama kerana saling memahami antara satu sama lain.

“Memang Juliana adalah pilihan utama saya untuk watak Bella yang menjadi sahabat baik Jamie, lakonan sendiri dalam filem ini. Kami cukup serasi. Terus terang, apabila bekerja dengan sahabat baik sendiri, banyak perkara menjadi mudah terutama mewujudkan keserasian,” katanya.

Menurut Liyana, paling utama mesej dalam lakonan dipersembahkan itu dapat sampai terus kepada penonton iaitu hubungan kekeluargaan dan persahabatan.

Menurut ibu dua anak ini, dalam realiti kehidupan setiap orang semestinya keluarga dan sahabat adalah elemen penting yang saling berhubung.

Tak pernah tikam belakang

Pengalaman Che Puan Juliana Evans bekerja dengan Liyana diakui selalunya seronok dan kelakar.

Katanya, personaliti Liyana pun sebenarnya agak lucu, jadi dia sendiri berasa tidak penat berkerja di set penggambaran termasuk perlu berhadapan cabaran yang banyak.

“Memang betul apa yang diakui Liyana iaitu lagi selesa bekerja dengan rakan baik sendiri. Sudah pasti ada saja pengalaman berbeza dilalui.

“Senang pun senang apabila kerja dengan orang yang sama (sahabat baik) kerana masing-masing sudah peka dengan cara bekerja itu,” katanya.

Mengulas persoalan tikam belakang, Juliana berkata, memang betul persahabatan mereka selama ini tidak pernah bermasalah langsung.

“Kami ada kehidupan masing-masing dan sudah matang. Tidak ada apa yang perlu ditikam belakang selain saling menyokong sesama sendiri.

“Kalau ada masalah pun yang dikongsikan, mesti nasihat yang baik-baik saja walaupun ia berkaitan hal perkahwinan dan keluarga. Liyana memang tak lokek berkongsi pandangan,” katanya.

Bella & Jamie kini di pawagam

Bagi penonton remaja terutama gadis yang mula ingin memahami erti sebuah persahabatan sebenar, filem Bella & Jamie ada jawapannya.

Menemui penonton di seluruh pawagam tanah air bermula hari ini, Bella & Jamie menyasarkan penonton berusia 13 hingga 24 tahun.

Dihasilkan tiga tahun lalu, filem ini karya terbitan sulung produksi milik Liyana, Mermaid Studios yang membelanjakan kos RM600,000.

Filem arahan Ghaz Abu Bakar ini mengangkat tema wanita yang menjurus pada hubungan persahabatan selama-lamanya dan juga kekeluargaan serta percintaan.

Bella & Jamie mengisahkan dua sahabat baik bekerjasama menghalang niat murni bapa dan ibu masing-masing untuk berkahwin lagi.

Selain Liyana dan Juliana, filem Bella & Jamie membariskan pelakon seperti Khir Rahman, Dynas Mokhtar, Izzue Islam serta Bell Ngasri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 6:01 AM