DYNAS harap dimurahkan rezeki dalam bidang lakonan dan  perniagaan. FOTO Azhar Ramli
DYNAS harap dimurahkan rezeki dalam bidang lakonan dan perniagaan. FOTO Azhar Ramli
Norhayati Nordin

MESKIPUN sarat hamil enam bulan, pelakon Datin Dynas Mokhtar, 35, masih larat dan tetap aktif dalam kerjaya seninya.

Ditemui ketika pratonton filem Bella & Jamie lakonannya baru-baru ini, ibu dua anak iaitu Khayra Khalyssa, 9, dan Mohamed Haqaish, 7, ini masih tampil anggun bergaya dan bertenaga.

Tiada istilah cepat penat ditunjukkan kerana Dynas dilihat bersikap positif melayani kerenah jurugambar yang mahu merakam fotonya.

Mendirikan rumah tangga kali kedua bersama Datuk Mohamad Shazrik Che Mohd Din tahun lalu, Dynas dijangka bersalin pada Mei nanti.

Berkongsi impiannya untuk 2019 ini, Dynas berharap beliau sekeluarga dimurahkan rezeki dalam bidang lakonan dan perniagaan.

Berbicara mengenai perniagaan diusahakan, katanya beliau akan memulakan perniagaan restoran, butik dan membekalkan pes masakan.

“Bagaimanapun, sekarang ini sudah tentunya fokus utama saya menjaga kandungan yang makin sarat sehingga tempoh bersalin nanti.

“Insya-Allah, saya akan mula berehat pada Mac nanti. Namun, tak dinafikan sejak akhir-akhir ini memang ada saja tawaran diterima.

“Nak menolak, tak sampai hati pula kerana saya melihatnya sebagai rezeki anak. Cuma, saya memang ada perancangan perniagaan,” katanya.

Menurut pemilik nama sebenar Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar itu, beliau merancang membuka sebuah restoran dan butik di Shah Alam.

“Selain itu, dengan bantuan ibu mentua, saya juga akan menjalankan perniagaan membekal pes masakan seperti pes mi bandung, nasi beriani dan asam pedas tidak lama lagi.

“Malah, ramuan untuk pes ini adalah hasil rencah air tangan asli daripada ibu mentua dan saya pula membantu menguruskan perniagaan ini,” katanya.

Teruja dengan perancangan perniagaannya, Dynas berkata beliau bertuah kerana saling bekerjasama dengan ibu mentua tersayang.

Ditanya juga mengenai jantina anaknya, ternyata Dynas enggan berselindung dan memberitahu beliau sendiri belum tahu zuriat lelaki atau perempuan.

Katanya, setakat ini apabila pemeriksaan bersama doktor, bayi di kandungannya suka menyorok dan hanya akan tahu apabila bersalin nanti.

Mengulas watak antagonis sebagai Mastura lakonannya dalam filem Bella & Jamie, Dynas berkata ia antara karakter yang penting juga.

“Mastura adalah bekas kekasih Badrul (lakonan Khir Rahman) yang muncul semata-mata untuk menghalang perancangan perkahwinan Badrul dan Maryam (Sharifah Nadia).

“Saya sedia melakonkan watak Mastura ini kerana seronok dapat bekerjasama dengan rakan lain dalam satu karya menarik.

“Bagi saya, sudah lama rasanya tiada filem tempatan yang dihasilkan berkisar kehidupan remaja. Jadi, filem Bella & Jamie ada jawapannya.

“Apatah lagi, filem ini membawa mesej yang bagus iaitu nilai kekeluargaan dan erti persahabatan sebenar,” katanya.

Dynas yang pernah membintangi filem Impak Maksima pada 2007 berkata, beliau sendiri mempunyai rakan yang dikenali sejak zaman belajar namun sudah lama tidak bertemu kerana kini sibuk dengan kehidupan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 10:21 AM