LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Muhamaad Razis Ismail


BAYI perempuan berusia setahun di Kota Bharu yang menghidap kanser tisu, meninggal dunia pada jam 9.05 malam tadi.

Nur Syifa Aulia Mohd Firdaus menghembuskan nafas terakhir di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, di sisi ahli keluarganya.

Jenazah dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Kubang Golok, Bachok dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Panjang jam 7 pagi ini.

Ibunya, Siti Nur Ashima Makhatar, 29, berkata, dia dan ahli keluarga menerima dengan reda pemergian anak ketiga daripada empat beradik selepas hampir lapan bulan menderita penyakit itu.

Katanya, keadaan kesihatan Nur Syifa Aulia semakin merosot selepas badannya semakin lemah dan bernafas dalam keadaan laju sejak Sabtu lalu.

“Dalam keadaan masih berpantang anak keempat, saya bersama suami membawanya ke HUSM untuk rawatan. Ketika itu keadaannya tidak banyak berubah sehinggalah pada jam 3 petang semalam, keadaan jantungnya semakin lemah.

“Pada malam itu, pada jam 9.05 malam, Nur Syifa menghembuskan nafas terakhir dan meninggalkan kami buat selamanya,” katanya ketika dihubungi hari ini,

Menurutnya, dia mengakui sudah bersedia dengan pemergian apabila menyedari perubahan ‘pelik’ pada Nur Syifa Aulia, beberapa hari lalu.

“Saya terkejut melihat mukanya putih berseri dan berbau wangi seperti bayi yang baru dilahirkan. Perkara itu diakui oleh jururawat di sini.

“Alhamdulillah, sebagai ibu saya bersyukur Nur Syifa pun pergi dalam keadaan tenang dan mudah,” katanya.

Katanya, dia berterima kasih sepanjang menjaga Nur Syifa Aulia dalam keadaan sarat mengandung, ramai pihak cukup prihatin dengan nasib mereka sekeluarga.

“Selepas berita mengenai penderitaan Nur Syifa dilaporkan di akhbar NSTP ramai pihak tampil membantu meringankan beban dan mendoakan Nur Syifa.

“Terima kasih kepada keluarga, pihak HUSM dan orang ramai yang membantu, hanya tuhan yang dapat membalas jasa mereka,” katanya.

NSTP sebelum ini melaporkan seorang bayi perempuan itu disahkan menghidap kanser tisu tahap empat sejak Mei tahun lalu.

Pada mulanya bayi itu diserang demam panas berpanjangan pada April tahun lalu sebelum timbul benjolan di bahagian kiri leher yang dilihat semakin membesar.

Pemeriksaan di HUSM mengesahkan anak ketiga daripada empat beradik itu disahkan menghidap kanser tisu.

Berita berkaitan

Moga diberikan 'Syifa' untuk Nur Syifa

'Doakan Nur Syifa'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 9:57 AM