KYFA Nishka Al-Kautsar Mohd Farham, bayi berusia empat bulan lebih yang menghidap kanser otak tahap empat dan kanser buah pinggang kini kritikal dan menerima rawatan di Unit Dependensi Tinggi (HDU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian. FOTO Ihsan Keluarga
KYFA Nishka Al-Kautsar Mohd Farham, bayi berusia empat bulan lebih yang menghidap kanser otak tahap empat dan kanser buah pinggang kini kritikal dan menerima rawatan di Unit Dependensi Tinggi (HDU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian. FOTO Ihsan Keluarga
Siti Nor Hidayatidayu Razali


BAYI empat bulan yang menghidap kanser otak tahap empat dan kanser buah pinggang kini kritikal dan menerima rawatan di Unit Dependensi Tinggi (HDU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Khairiah Kamarudin, 35, ibu kepada Kyfa Niskha Al-Kautsar Mohd Farham berkata, dia reda jika anaknya dijemput Ilahi.

“Mommy reda jika adik mahu pulang (kepada pencipta) kerana tidak sanggup melihat adik derita,” kata Khairiah.

Katanya, Kyfa Nishka kini tidak mampu memberi tindak balas berbanding sebelum ini boleh membuka mata.

“Sebagai ibu, saya minta orang ramai mendoakan supaya dipermudahkan segala urusan bayi saya memandangkan keadaan kini kritikal sejak semalam.

“Saya bersedia jika apa-apa berlaku ke atas bayi kerana sedih melihat keadaannya yang tenat dan memakai alat bantuan pernafasan. Kepalanya juga semakin membesar kepada 44 sentimeter (cm) berbanding ketika lahir hanya 34 cm,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dia dan suami, Mohd Farham Che Ahmad, 36, juga hanya mampu berdoa supaya urusan anaknya dipermudahkan oleh pencipta.

Pada masa sama, Khairiah yang juga guru dan mengajar di SK Bandar, Pulai Chondong, Machang sebelum ini, bersyukur kerana dapat berpindah ke Sekolah Kebangsaan (SK) Bekelam, di Bachok sejak semalam supaya lebih dekat untuk memantau keadaan anaknya.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan kerana meluluskan permohonan perpindahan saya dan juga pihak HUSM yang merawat serta mengambil berat tentang keadaan bayi saya,” katanya dalam keadaan sebak.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, bayi berusia empat bulan, Kyfa Nishka Al-Kautsar Mohd Farham disahkan menghidap kanser otak (Medullablastoma) tahap empat ketika 21 hari selepas dilahirkan dan turut dikesan menghidap penyakit kanser buah pinggang bulan lalu.

Berita berkaitan

'Alhamdulillah...Nishka semakin baik'

'Teruskanlah berdoa buat Nishka' [METROTV]

Ya Allah, sembuhkan Nishka [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 2:05 PM