MOHD Izuan (gambar kecil) menunjukkan foto arwah bapanya yang juga pengasas Budu Cap Ketereh. Foto SITI ROHANA IDRIS
MOHD Izuan (gambar kecil) menunjukkan foto arwah bapanya yang juga pengasas Budu Cap Ketereh. Foto SITI ROHANA IDRIS
Siti Rohana Idris


“AYAH sempat berpesan kepada kami lapan beradik supaya menjaga dan terus kekalkan perusahaan budu yang diwarisi dengan baik,” kata Mohd Izuan Ismail, 33, anak kepada pengasas Budu Cap Ketereh, Ismail Jusoh yang meninggal dunia, malam semalam.

Ismail, 69, menghembuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarganya di wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kira-kira jam 8.05 malam.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ketil, Tumpat, jam 7.30 pagi.

Mohd Izuan, berkata dalam keadaan tidak berdaya, bapanya masih lagi bercakap mengenai perusahaan budunya yang diusahakan sejak 40 tahun lalu.

“Dia meminta kami menjaga sebaiknya perusahaan budu itu dan teruskan legasi sehingga ke cucu-cicit.

“Ayah sudah lama tidak turun ke bengkel kerana kesihatan tidak mengizinkan dan kami lima beradik menguruskan secara langsung, manakala tiga lagi turut memantau,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, bapanya dimasukkan ke hospital pada 8 Disember tahun lalu kerana tekanan darah rendah.

“Selepas dibuat pemeriksaan lanjut doktor mengesahkan ayah menghidap kanser darah tetapi masih di peringkat awal.

“Awal Januari ayah memulakan rawatan kemoterapi selama tujuh hari, namun keadaannya semakin lemah. Mungkin kerana disebabkan sebelum ini dia pernah menjalani pembedahan akibat masalah jantung, tahun lalu.

“Empat hari sebelum meninggal dunia, ayah sudah tidak sedarkan diri dan keadaannya semakin lemah serta bernafas menggunakan mesin bantuan pernafasan sehingga ke nafas terakhir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 11:50 AM