Siti Nor Hidayatidayu Razali


“SEBAIK tiba dari Hatyai, Thailand, Sabtu lalu, tiga cucu itu berebut memberi kekacang kepada saya dan mereka tidak putus memberi ciuman di pipi serta bersalaman.

“Ia menjadi kenangan terakhir kerana tiga beradik itu sangat rapat dan sering melawat saya dan neneknya,” kata Wahab Mat Adam, 80, datuk kepada tiga beradik yang lemas di Pantai Sura Tengah, Dungun, Terengganu, semalam.

Wahab berkata, lima beranak iaitu anaknya, Zawawi Wahab, 42, menantu, Nur Syahida Abdullah, 36, dan tiga cucu terbabit, Nur Ain Fatma, 10, Nur Ain Sofea, 9, dan Nur Ain Sasabila, 6, singgah di rumahnya di Kampung Batu Lapan, Nilam Puri, Kota Bharu untuk memberi buah tangan yang dibeli di Hatyai.

Katanya, sebelum azan Maghrib, lima beranak itu bertolak pulang ke rumah mereka di Kampung Pangkal Pisang, Peringat.

Wahab berkata, tiga cucunya itu sangat peramah dan tidak menunjukkan sikap pelik.

Katanya, dia mengetahui kejadian yang menimpa tiga cucunya itu pada 8 malam tadi selepas dimaklumkan seorang cucunya.

“Saya tidak pergi ke Dungun kerana menghidap sakit jantung dan menunggu di rumah.

“Saya reda dengan kejadian ini dan berharap anak serta menantu tabah menghadapi dugaan ini,” katanya.

Terdahulu, tiga beradik berkenaan selamat dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rahmat, Rantau Panjang pada 6.55 petang hari ini.

Jenazah mereka tiba di Masjid Mukim Kampung Rahmat pada 6.15 petang diiringi ibu bapa dan ahli keluarga dari Hospital Dungun.

Jenazah mereka kemudian disembahyangkan dan dibawa ke tanah perkuburan yang dihadiri kira-kira 300 orang termasuk ibu bapa, ahli keluarga dan penduduk kampung.

Ibu tiga kanak-kanak itu hampir pengsan sebaik melihat tiga jenazah anaknya dibawa masuk ke dalam liang.

Sementara itu, sepupu mangsa, Ahmad Syafiq Abdul Aziz, 23, berkata ketika kejadian dia sedang tidur di inap desa di depan Pantai Sura.

“Ibu saudara mengejutkan saya dan memaklumkan tiga sepupu ditarik ombak. Tanpa berlengah saya berlari dan terjun ke pantai.

“Saya mencuba sebanyak tiga kali termasuk menggunakan pelampung, namun ditolak ombak naik ke atas. Saya dapat lihat tiga sepupu itu berada di tengah-tengah laut,” katanya.

NSTP sebelum ini melaporkan percutian empat keluarga ke Dungun bertukar tragedi selepas tiga beradik Nur Ain Fatma Zawawi, 10, Nur Ain Sofea, 9, dan Nur Ain Sasabila, 6, dikhuatiri lemas selepas ditarik ombak ketika bermain di tepi Pantai Sura Tengah pada 6.40 petang semalam.

Jenazah Nurain Sofia ditemui Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) pada 7.48 pagi dalam jarak lima kilometer dari tempat kejadian. Manakala, jenazah kedua, Nurain Sasabila ditemui pada 9.40 pagi kira-kira satu kilometer dari darat dan Nurain Fatma, ditemui dalam jarak lima kilometer dari lokasi kejadian pada 11.03 pagi hari ini.

Berita berkaitan

'Anak-anak akan berdoa bertemu kami di syurga'

Ibu pengsan lihat jenazah tiga anak

[UPDATE] Mayat dua daripada tiga beradik lemas ditemui

Guna kaedah pencarian di pesisir pantai

'[UPDATE] Tiga beradik berpelukan selepas dipukul ombak'

'Tiga beradik hilang ditarik ombak'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 7:36 PM
JENAZAH tiga beradik mangsa lemas dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rahmat, Rantau Panjang, hari ini. Gambar kecil, Wahab. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
JENAZAH tiga beradik mangsa lemas dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rahmat, Rantau Panjang, hari ini. Gambar kecil, Wahab. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.