GAMBAR kenangan tiga beradik yang dikhuatiri lemas (dari kiri) Nur Ain Fatma, Nur Ain Sofea dan Nur Ain Sasabila Zawawi bersama ibu bapa mereka dari Kampung Pegal Pisang, Peringat, Kota Bharu, Kelantan. FOTO Rosli Ilham.
GAMBAR kenangan tiga beradik yang dikhuatiri lemas (dari kiri) Nur Ain Fatma, Nur Ain Sofea dan Nur Ain Sasabila Zawawi bersama ibu bapa mereka dari Kampung Pegal Pisang, Peringat, Kota Bharu, Kelantan. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham


“MEREKA bertiga berpelukan selepas dipukul ombak,” kata Aqif Khairullah Azhar, 7, selepas tiga sepupunya itu ditarik ombak ketika bermain di tepi Pantai Sura Tengah, Dungun, hari ini.

Dalam kejadian 6.40 petang itu, tiga beradik terbabit, Nur Ain Fatma Zawawi, 10, Nur Ain Sofea, 9, dan Nur Ain Sasabila, 6, dari Kampung Pegal Pisang, Peringat, Kota Bharu, Kelantan, dikhuatiri lemas dan gerakan mencari dan menyelamat mangsa dilakukan pihak berkuasa.

Tiga beradik terbabit mengikuti ibu saudara mereka bercuti dan menginap di sebuah inap desa di depan pantai terbabit.

Aqif berkata, dia bersama kakaknya, Anis Maisarah, 8, serta tiga beradik itu berada di tepi pantai dengan ditemani seorang ibu saudara mangsa.

“Mula-mula Nur Ain Sasabila bermain di tepi dan dua kakaknya datang untuk mengajak adiknya itu naik ke atas.

“Tiba-tiba ombak besar datang dan memukul mereka sebelum ditarik ke laut,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, bapa Aqif, Azhar, 43, berkata, mereka datang bercuti di Dungun dengan menaiki lima kereta.

“Kedua-dua ibu bapa kanak-kanak itu tidak turut serta. Kami tiba di inap desa pada 5 petang.

“Saya dan isteri dengan anak saudara serta ipar yang lain berehat di inap desa manakala dua anak dan mangsa turun ke pantai,” katanya.

Katanya, ketika terlelap dia dikejutkan isterinya yang memaklumkan tiga anak saudaranya dihanyutkan ombak.

“Saya bersama ahli keluarga yang lain turun ke pantai dalam jarak 300 meter dan mendapati ketiga-tiga mangsa sudah hilang.

“Saya meminta ahli keluarga supaya segera menghubungi talian kecemasan untuk memaklumkan kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Dungun, Saifuddin Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.14 malam sebelum 10 anggota dengan sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, anggota polis dengan bantuan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melancarkan gerakan mencari dan menyelamat.

“Sehingga jam 9 malam ini usaha mencari dan menyelamat mangsa masih belum berhasil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 9:51 PM