KANAK-KANAK mangsa perang yang kini mendapatkan perlindungan di kem pelarian Addwa Al Raudah Akkar, Lubnan.
KANAK-KANAK mangsa perang yang kini mendapatkan perlindungan di kem pelarian Addwa Al Raudah Akkar, Lubnan.
Melaporkan dari Lubnan Mohd Azam Shah Yaacob dan Nor Farizan Abdull Rahman

TRIPOLI, Lubnan: Mereka terpaksa mengutip cebisan tubuh serta kepala 66 mayat penduduk Syria yang disembelih dan dikerat-kerat beramai-ramai oleh rejim Bashar Al Assad sebelum dikebumikan dalam satu liang lahad.

Ia antara pengalaman tidak boleh dilupakan pelarian Syria yang kini berada di Tripoli, Khaled At Tawel yang putus kedua-dua belah kaki daripada pangkal paha akibat terkena bom.

Menurut Khaled, kejadian berlaku pada April 2013 apabila sekumpulan penduduk kampung yang berjiran dengan kawasan kampungnya melarikan diri daripada serangan tentera rejim Bashar.

Katanya, sebelum sampai ke kampungnya, tentera Bashar berjaya memintas kumpulan itu dan menahan mereka.

 KANAK-KANAK mangsa perang di kem pelarian Addwa Al Raudah Akkar, Lubnan ketika ditemui dalam Misi Kemanusiaan Syria Care 7.0.
KANAK-KANAK mangsa perang di kem pelarian Addwa Al Raudah Akkar, Lubnan ketika ditemui dalam Misi Kemanusiaan Syria Care 7.0.

“Sebaik ditahan, seramai 66 individu termasuk kanak-kanak, lelaki mahupun perempuan kemudian disembelih kumpulan tentera berkenaan.

“Ada yang ditembak sehingga berkecai tubuh badan dan ada yang dikerat-kerat anggota badannya, sebelum mereka berlalu pergi,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Tripoli, semalam.

Khaled berkata, oleh kerana tidak mengetahui anggota badan milik mayat yang mana, dia bersama beberapa penduduk di kampungnya terpaksa mengebumikan kesemuanya dalam satu liang lahad.

“Untuk menguruskan mayat berkenaan juga menjadi masalah kerana kami tidak tahu bagaimana mahu mengkafankan mayat yang sudah dikerat-kerat dan hancur ditembak.

“Jadi, kami ambil keputusan untuk mengebumikan semua dalam keadaan anggota dan kepala bercerai daripada badan itu dalam satu liang lahad,” katanya.

Menurut Khaled, sebelum dia terkena serangan bom, beberapa wanita, termasuk orang tua serta kanak-kanak di kawasan kampung berhampiran di Homs pernah dibakar hidup-hidup oleh tentera Bashar dalam sebuah bilik.

Katanya, perbuatan kejam berkenaan menyebabkan penduduk di kampungnya sering dilanda ketakutan terutama apabila mendengar bunyi tembakan atau letupan bom.

“Kerana keganasan dilakukan tentera Bashar, kami takut untuk melarikan diri dari Syria kerana jika ditemui dan ditangkap, kami pasti akan diseksa sebelum dibunuh,” katanya.

Bagaimanapun, Khaled berkata, pada pertengahan 2014, ketika mahu menjemput anaknya pulang dari sekolah, sebutir bom meledak menyebabkan dia yang menaiki motosikal ketika itu tercampak.

Katanya, dia tidak tahu sama ada bom itu ditembak dari jarak jauh dan jatuh ke situ atau ada bom diletakkan di jalan dilalui sebelum diletupkan.

“Apa yang saya tahu, selepas bom meledak, saya tercampak di atas jalan. Ketika itu saya masih sedar namun kepala terasa berat, panik dan dalam keadaan bingung kerana tidak tahu apa yang berlaku.

“Saya sendiri tidak sedar bahagian bawah tubuh mengalami kecederaan. Saya cuba bangun beberapa kali sebelum penduduk lain meminta saya bertenang dan memaklumkan bahagian kaki daripada pangkal paha sudah hancur sebelum tidak sedarkan diri,” katanya.

Menurutnya lagi, kecederaan yang dialami menyebabkan dia dibenarkan untuk keluar dari Syria bagi mendapatkan rawatan di Turki.

Katanya, selepas itu juga, isteri serta lima anaknya berjaya menyeludup keluar secara haram dari Syria ke Turki dengan bantuan beberapa penduduk lain.

“Selepas beberapa bulan keadaan saya semakin sembuh, kami kemudian mengambil keputusan untuk pergi ke Tripoli, Lubnan bagi memulakan kehidupan baru,” katanya.

Ditanya sama ada dia serta keluarga rindu untuk pulang ke kampung halaman di Syria, Khaled berkata, perasaan itu memang ada tetapi kerana keadaan yang berlaku, adalah mustahil bagi pelarian sepertinya untuk balik ke negara asal.

“Jika tentera Bashar dapat tahu kami sudah balik semula ke Syria, mereka pasti akan mencari dan membunuh kami kerana dianggap sebagai pengkhianat.

“Jadi, kami lebih rela tinggal di sini sebagai pelarian dan hanya akan pulang jika keadaan berubah dan tentera Bashar dihapuskan,” katanya yang kini berniaga minyak wangi secara kecil-kecilan menggunakan motosikal roda tiga hasil sumbangan Syria Care.

Terharu terima bantuan Syria Care

AKKAR, Lubnan: ‘Syukran. Jazakallahu khairan Malaysia, Jazakallahu khairan Syria Care’ (Terima kasih. Semoga Allah memberkatimu Malaysia, semoga Allah memberkatimu Syria Care).

Itu ucapan pelarian Syria di kem pelarian terletak antara sempadan negara bergolak itu dengan Lubnan sebaik menerima sumbangan pek makanan diserahkan pertubuhan kemanusiaan, Syria Care hasil sumbangan rakyat Malaysia.

Kami difahamkan, mereka amat terharu apabila menerima bantuan itu berikutan sejak beberapa bulan lalu, sumbangan diterima sangat sedikit menyebabkan pelarian di kem pelarian di situ terpaksa mencatu makanan harian.

Wakil Syria Care di Lubnan, Abbushi berkata, ada antara kem berkenaan sudah wujud sejak enam tahun lalu, namun belum pernah sekalipun menerima kunjungan wakil pertubuhan kemanusiaan dari luar.

Kebanyakan penghuni kem pelarian hanya bergantung pada sumbangan penduduk tempatan yang bersimpati dengan nasib mereka.

“Sebenarnya, ada yang mengalu-alu kehadiran mereka di Lubnan, namun ada yang tidak suka melihat mereka.

“Kehadiran pelarian Syria ini tidak diambil peduli oleh kebanyakan penduduk di negara ini apatah lagi mahu membantu mereka.

MANGSA perang   mendapatkan perlindungan di kem pelarian Addwa Al Raudah Akkar, Lubnan ketika ditemui dalam Misi Kemanusiaan Syria Care 7.0.
MANGSA perang mendapatkan perlindungan di kem pelarian Addwa Al Raudah Akkar, Lubnan ketika ditemui dalam Misi Kemanusiaan Syria Care 7.0.

“Jadi, apabila menerima kunjungan serta bantuan serta lawatan petugas misi kemanusiaan Syria Care yang mengagihkan hasil sumbangan wang rakyat Malaysia, pelarian di sini berbesar hati dan terharu,” katanya ketika ditemui selepas pengagihan pek makanan di Kem Addwa al-Raudah, semalam.

Abbushi berkata, boleh dikatakan, tidak banyak pertubuhan kemanusiaan asing yang memberi bantuan bagi mengurangkan beban pelarian Syria.

“Kami bertanya dengan penghuni di kem-kem pelarian di sini, mereka mengakui jarang menerima kunjungan daripada pertubuhan kemanusiaan termasuk dari Lubnan sendiri,” katanya.

“Dunia seakan-akan tidak peduli dengan nasib mereka. Jadi, mereka sangat berterima kasih bila Syria Care datang dan memberi sumbangan pek makanan biarpun hanya cukup menampung bagi keperluan beberapa minggu sahaja,” katanya.

Menurut Abbushi, kebanyakan pelarian tidak kisah mengenai berapa besar sumbangan itu, sebaliknya mahu masalah mereka didengari berikutan ada antaranya memerlukan sumbangan bagi membeli ubat-ubatan termasuk keperluan makanan bayi serta kanak-kanak.

“Di kem-kem pelarian ini, kebanyakan ibu bapa tidak kisah mengenai keperluan untuk mereka makan.

“Bagi mereka, keperluan utama adalah yang sakit mendapat rawatan sewajarnya termasuk bekalan ubat diperlukan, manakala anak-anak mendapat makanan yang mencukupi. Jika mereka (ibu bapa) dapat makanan untuk mengalas perut sahaja, itu sudah mencukupi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 9:57 AM