Wartawan Mohd Azam Shah Yaacob dan Jurugambar Nor Farizan Abdull Rahman


AKKAR, Lubnan: Bayar AS$2,000 (RM8,331) untuk diseludup keluar hidup-hidup atau tinggal menunggu maut menjemput.

Itu pilihan diberikan sindiket penyeludupan manusia menawarkan ‘tiket’ keluar daripada sengsara kepada penduduk Syria yang ingin lari dan memulakan hidup baru di negara lain.

Biarpun mengetahui penduduk di negara itu tidak mampu menyediakan wang dipinta, bagi sindiket yang mengambil kesempatan menjalankan kegiatan penyeludupan manusia di kawasan sempadan antara Syria dan Lubnan, ia bukan masalah mereka.

Terdesak serta tiada pilihan, penduduk di sana terpaksa menjual barang berharga dan meminjam dengan saudara-mara sehingga jumlah dipinta sindiket berkenaan mencukupi.

Perkara itu didedahkan Ameena Maan, 39, yang berjaya melarikan diri dari Idlib menggunakan khidmat sindiket penyeludupan manusia dan tiba di kem pelarian Addwa Al Raudah, di sini, empat hari lalu.

Katanya, menerusi khidmat sindiket berkenaan, kumpulannya yang terdiri daripada lima keluarga membabitkan enam dewasa dan lima kanak-kanak terpaksa membayar AS$12,000 (RM49,986) untuk keluar dari Idlib, seterusnya menyeberang sempadan Lubnan.

“Jumlah itu dikenakan bagi setiap individu dewasa iaitu tiga wanita serta tiga lelaki termasuk seorang yang cacat penglihatan dalam kumpulan kami. Tetapi, tiada bayaran dikenakan kepada kanak-kanak.

“Jumlah itu sangat besar menyebabkan kami terpaksa meminjam dengan saudara-mara bagi mencukupkan jumlah bayaran diminta kerana sudah tidak tahan berada di Syria yang penuh sengsara,” katanya ketika ditemui di Kem Addwa Al Raudah, kelmarin.

Ameena berkata, menggunakan khidmat sindiket berkenaan, mereka dibawa keluar dari Idlib menaiki kereta sebelum tiba di wilayah Homs.

Katanya, sepanjang perjalanan ke sempadan itu yang mengambil masa selama tiga hari, mereka hanya bergerak pada waktu malam saja dengan lampu kenderaan dimatikan.

“Pada siang hari pula, kami bersembunyi di kawasan tertutup dan tidur di dalam kereta bagi mengelak dikesan kumpulan bersenjata sehingga tiba di sempadan di wilayah Homs.

“Selepas itu, kami menyambung perjalanan dengan berjalan merentas sempadan sehingga selamat tiba di sini,” katanya.

Katanya, sepanjang tempoh lima hari melarikan diri dengan bantuan sindiket penyeludupan manusia itu, mereka hanya makan biskut yang dibawa.

Menurutnya, dia bersyukur apabila selamat tiba di Kem Addwa dan berharap dapat memulakan kehidupan baru tanpa rasa takut.

“Sekarang ini saya tidak lagi perlu risau dengan soal keselamatan anak-anak atau khuatir diserang kumpulan bersenjata.

“Malah, saya berharap selepas ini kehidupan kami sekeluarga dapat berubah dan hidup dengan lebih baik berbanding ketika di Syria,” katanya.

SEBAHAGIAN pelarian Syria yang belajar jurusan Syariah dan hafazan al-Quran di Al-Quran Al Kareem Institue di Tripolis, Lubnan. FOTO/NOR FARIZAN ABDULL RAHMAN
SEBAHAGIAN pelarian Syria yang belajar jurusan Syariah dan hafazan al-Quran di Al-Quran Al Kareem Institue di Tripolis, Lubnan. FOTO/NOR FARIZAN ABDULL RAHMAN

‘DENGAN ILMU KAMI BANGKIT SEMULA’

“Jika senjata membuatkan kami merana, insya-Allah dengan ilmu kami akan bangkit semula,” kata Adnan Abdul Rahman Zu’bi Kailani, 18, pelarian Syria yang berpeluang menyambung pelajaran di Al-Quran Al Kareem Institute, di sini.

Katanya, rakyat Syria percaya ilmu itu juga akan digunakan untuk membina semula negara mereka jika ditakdirkan keadaan di sana berubah satu hari nanti.

“Benar dan kami yakin hanya dengan ilmu saja kami boleh mengubah nasib keluarga kami yang kini bergelar pelarian di negara lain termasuk di sini.

“Biarpun ada antara kami sudah keciciran pelajaran akibat perang dan perlu belajar semula dari peringkat asas, kami tidak kisah kerana paling penting, ilmu itu dapat dipelajari,” katanya ditemui ketika lawatan Syria Care di institusi itu, kelmarin.

Lawatan itu antara sebahagian misi kemanusiaan Syria Care 7.0 di Lubnan yang sebelum ini turut menaja pembelian buku teks, pengangkutan serta kelengkapan pengajian bagi pelarian Syria di situ sejak dua tahun lalu.

Pelarian dari Homs, Nagham Al Ali, 16, berkata, peluang melanjutkan pelajaran secara percuma bukan sentiasa terbuka dan jika ada sekalipun, ia cukup terhad.

“Untuk belajar, ia memerlukan wang dan kerana kami tidak mempunyai sumber kewangan, peluangnya agak terhad.

“Jadi, kami bersyukur apabila ditawarkan belajar di sini secara percuma menerusi bantuan pembiayaan kewangan daripada luar,” katanya bercita-cita melanjutkan pengajian sehingga peringkat tertinggi.

Sementara itu, Pengerusi Syria Care Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, susulan kekangan kewangan, penajaan di institusi berkenaan sudah dihentikan sejak beberapa bulan lalu kerana mengambil kira keperluan rakyat Syria lain yang lebih memerlukan.

Katanya, Syria Care bercadang menaja semula apabila sumber kewangan sudah semakin kukuh dan memerlukan lebih banyak sumbangan daripada rakyat Malaysia.

“Insya-Allah, dengan adanya lebih banyak sumbangan, kita boleh meneruskan semula tajaan di institusi ini.

“Ia kerana hanya dengan ilmu saja kita dapat membantu pelarian ini untuk mengubah kehidupan dan berdikari dengan sendirinya,” katanya.

Siti Sakinah berkata, ketika ini institusi itu mempunyai seramai 100 pelajar Syria yang berusia antara 13 hingga 40 tahun, selain 50 pelajar Lubnan.

PELARIAN Syria di kem Karbat Dawood terletak di sempadan Lubnan dan Syria megambil pek bantuan makanan yang diagihkan oleh pertubuhan kemanusiaan, Syria Care. FOTO/NOR FARIZAN ABDULL RAHMAN
PELARIAN Syria di kem Karbat Dawood terletak di sempadan Lubnan dan Syria megambil pek bantuan makanan yang diagihkan oleh pertubuhan kemanusiaan, Syria Care. FOTO/NOR FARIZAN ABDULL RAHMAN

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 10:01 AM
PELARIAN Syria di perkampungan setinggan di Mina', Tripoli mengambil pek makanan yang diagihkan oleh Syria Care dalam misi kemanusiaan hari pertama di Lubnan. FOTO/NOR FARIZAN ABDULL RAHMAN
PELARIAN Syria di perkampungan setinggan di Mina', Tripoli mengambil pek makanan yang diagihkan oleh Syria Care dalam misi kemanusiaan hari pertama di Lubnan. FOTO/NOR FARIZAN ABDULL RAHMAN