Mohd Anwar Patho Rohman; Syed Umar Ariff; Fahmy Azril Rosli dan Esther Landau


KETUA Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding di Parlimen Port Dickson, dalam usaha Pakatan Harapan (PH) mengangkat beliau sebagai Perdana Menteri kelapan.

Pengosongan kerusi itu diumumkan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada sidang media khas di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.

"Saya sedia mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson bagi membolehkan Anwar bertanding dalam pilihan raya kecil di kawasan itu.

"Anwar bersetuju menerima tawaran saya dan bersedia bertanding di Parlimen Port Dickson. Saya yakin Anwar akan menang dan menjadi Ahli Parlimen dan akan menjad Perdana Menteri kelapan.

"Saya juga sudah menyerahkan surat perletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Port Dickson berkuatkuasa serta merta kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat," katanya.

Turut hadir, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail; Naib Presiden, Dr A Xavier Jayakumar.

Kali terakhir Anwar, 71, bertanding ialah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) di kerusi Parlimen Permatang Pauh yang menyaksikan beliau menewaskan Mazlan Ismail (BN) dan Abdullah Zawawi Samsudin (BEBAS) dengan majoriti 11,721 undi.

Kelayakan Anwar sebagai Ahli Parlimen Pematang Pauh terlucut selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun selepas menolak rayuannya daripada hukuman penjara bagi kesalahan meliwat pada Februari 2015.

Bagaimanapun, beliau diberikan pembebasan serta-merta selepas mendapat perkenan pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 16 Mei lalu, tujuh hari selepas PH menjadi kerajaan.

Info Parlimen Port Dickson (Teluk Kemang)

- 75,212 pengundi pada PRU-14

- Disandang Datuk Danyal Balagopal Abdullah dari PKR yang mendapat 36,225 undi pada PRU-14 dengan majoriti besar 17,710 mengalahkan calon BN V Mogan (18,515) dan calon PAS Mahfuz Roslan (6,594).

- Satu-satunya kerusi parlimen di Negeri Sembilan dimenangi PKR.

- Danyal Balagopal adalah bekas pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

- Beliau juga bekas Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Chief De Mision Sukan Asia 2014

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 1:33 PM
SAIFUDDIN Nasution (kanan) bersama Naib Presiden Parti PKR, Rafizi Ramli (kiri) dan Danyal Balagopal (tengah) di sidang media khas. FOTO Aizuddin Saad
SAIFUDDIN Nasution (kanan) bersama Naib Presiden Parti PKR, Rafizi Ramli (kiri) dan Danyal Balagopal (tengah) di sidang media khas. FOTO Aizuddin Saad