Tian Chua
Tian Chua
Rizanizam Abdul Hamid dan Syed Umar Ariff

“SAYA hadir mesyuarat Biro Politik PKR tapi tak ada bincang pengosongan kerusi Port Dickson,” kata Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Beliau mendakwa tidak pernah dimaklumkan berhubung keputusan parti mengosongkan kerusi Port Dickson bagi memberi laluan kepada Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri kelapan.

Malah, beliau yang turut menghadiri mesyuarat biro politik PKR pada malam Selasa lalu berkata, tiada seorang pun di dalam biro terbabit boleh mengesahkan secara tepat keputusan berkenaan telah dicapai pada malam berkenaan.

“Satu-satunya perkara yang Saifuddin (Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail) berkata semasa mesyuarat adalah kerusi (yang akan dikosongkan) telah diputuskan akan diadakan sidang media keesokan harinya (Rabu).

“Kemudian (seperti diumumkan pada sidang media) barulah jelas ini (kerusi Port Dickson yang dkosongkan) telah dibincangkan lebih awal,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini hari ini.

Saifuddin hari ini berkata, keputusan mengosongkan kerusi itu dalam usaha Pakatan Harapan (PH) mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri Ke-8 telah diputuskan melalui biro politik PKR yang turut dianggotai Ketua Wanitanya, Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu berkata, kedua-dua rakannya itu adalah anggota biro terbabit yang telah membincangkan pelbagai isu dalam parti termasuk proses pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson.

Ditanya apakah Zuraida dan Chua hadir dalam mesyuarat biro politik setiap kali diadakan, Saifuddin berkata persoalan itu perlu diajukan kepada kedua-dua rakannya itu.

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah semalam mengumumkan mengosongkan kerusi yang disandangnya untuk ditandingi Anwar.

Mengulas lanjut Chua berkata, keputusan memilih Port Dickson itu ‘dimanfaatkan’ Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, dalam usaha untuk kempen pemilihannya.

Beliau turut mendakwa Rafizi adalah individu yang menyerahkan surat peletakan jawatan Danyal sebagai Ahli Parlimen kepada Speaker Dewan Rakyat semalam.

“Dia yang telah menyerahkan surat itu kepada Speaker pada kira-kira jam 10 pagi semalam. Tidak bolehkah Danyal sendiri yang menyerahkan surat itu?

“Adakah Rafizi bimbang Danyal mungkin akan mendedahkan beberapa ‘rahsia’ jika dia didesak oleh Speaker?” katanya.

Sementara itu usaha untuk mendapatkan komen Zuraida yang kini menghadiri simposium di Bali, Indonesia atas kapasitinya sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan tidak berhasil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 5:46 PM