Nora bersama anaknya, Ney Ney. FOTO Hm Digital/Zunnur Al Shafiq
Nora bersama anaknya, Ney Ney. FOTO Hm Digital/Zunnur Al Shafiq
Ridzuan Abdul Rahman


PELAKON cantik, Nora Danish mengakui tidak ambil kisah pandangan masyarakat terhadap anaknya, Mohamed Neqayl Nedim atau Ney Ney, kini berusia lima bulan.

Sewaktu berusia dua bulan, segelintir komen di laman sosial menyifatkan anak hasil perkahwinan Nora dengan Nedim Nazri ini ‘tidak comel langsung’ berbanding anak selebriti lain membuatkan hati Nora terguris.

Kata-kata itu bagaimanapun berubah apabila ramai mula memuji Ney Ney apabila Nora memuat naik gambar ‘selfie’ bersama anaknya di Instagram.

“Biasalah...kenyataan dikeluarkan ketika anak saya masih kecil. Lagipun Ney Ney lahir tak cukup bulan iaitu lapan bulan dan belum sempurna sepenuhnya.

“Ini membuatkan netizen bersikap negatif dan menghina anak saya. Sekarang saya belajar bahawa tak perlu ambil kisah apa yang orang cakap dan asalkan saya gembira itu dah cukup,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia tetap akan memaparkan wajah Ney Ney biarpun bakal berdepan kecaman segelintir netizen.

“Saya tetap akan kongsi gambar anak saya kepada peminat yang sentiasa menyokong. Kepada yang nak cari salah dan mengutuk itu, biarkanlah.

“Diikutkan, saya tak pernah jemu paparkan gambar Ney Ney kerana dia ada peminat sendiri.

“Bahkan kalau saya pergi mana-mana pun, orang akan bertanyakan mengenai Ney Ney dan rasanya dia lebih popular berbanding saya dan Nedim,” katanya.

Nora berkata, keterujaan mereka terhadap Ney Ney dibuktikan apabila ada peminat baru sanggup mengikutinya di Instagram kerana ingin melihat keletah anaknya.

“Saya berbesar hati apabila ada peminat sanggup berbuat begini. Namun belum terfikir untuk mewujudkan akaun Instagram khas untuk Ney Ney.

“Biarlah dia membesar terlebih dahulu dan selepas itu Ney Ney akan tentukan samada kehidupannya perlu dikongsi atau dirahsiakan daripada masyarakat.

“Buat masa ini saya memang suka paparkan gambarnya di Instagram saya tanpa had. Jika ada sahaja perkara menarik mengenai Ney Ney, saya pasti akan keluarkan di Instagram,” katanya ditemui di lokasi penggambaran drama bersiri Bahagia Bukan Bidaan di AU2, Keramat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 5:37 PM