Lan mahu kuarantin anak kerana tidak mahu perancangan terganggu. FOTO Ridzuan Abdul Rahman
Lan mahu kuarantin anak kerana tidak mahu perancangan terganggu. FOTO Ridzuan Abdul Rahman
Ridzuan Abdul Rahman


PENYANYI Lan Solo melahirkan perasaan gembira kerana anaknya, Nur Amna Quxandra, yang dilahirkan pada 24 Februari lalu tidak perlu menunggu lama untuk menjalani pembedahan memperbetulkan bibir yang sumbing.

Lan atau nama sebenarnya, Mohd Razlan Mohamed Yusof, 33, berkata dia dan isterinya, Nur Sheila Hassim, 33, merujuk masalah mereka ke Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) dan diberitahu berita gembira itu daripada doktor melakukan pemeriksaan terhadap Nur Amna Quxandra.

"Alhamdulillah kami baru lepas bawa Nur Amna Quxandra ke PPUM dan doktor sudah periksa sekeliling serta mendapati cuma ada satu bahagian di langit-langit yang mungkin tidak akan bergigi.

"Itu sahaja satu kesan yang akan ada tetapi tiada lubang yang bersambung sampai ke hidung.

“Pemeriksaan dibuat mendapati bahagian bibir yang sumbing dan terpisah hanya kecil dan insya Allah pada 31 Mei nanti pembedahan akan dibuat di tempat itu.

"Sebelum ini kami diberitahu pembedahan tidak dapat dibuat selagi berat Nur Amna Quxandra tidak mencecah lima kilogram tetapi disebabkan sumbingnya terlalu sedikit, ia dapat dilakukan dalam tempoh sebulan dari sekarang," katanya ditemui pada pelancaran single pertamanya berjudul Berpisah Tanpa Rela terbitan usahama MVM Production dan Warner Music Malaysia.

Menurut Lan, dalam tempoh seminggu sebelum pembedahan, mereka perlu memastikan Nur Amna Quxandra bebas sebarang demam dan masalah boleh menyebabkan pembedahan terpaksa ditunda.

"Kami terpaksa kuarantin dia betul-betul terutama menjelang hari pembedahan kerana tidak mahu apa dirancang terganggu," katanya kepada Harian Metro.

Lan dan Sheila bernikah pada 5 Disember 2009. Mereka dikurniakan tiga anak iaitu Nur Amna Qaleesya, 8, Nur Amna Qeesyara, 6, dan Muhammad Akid Qassyaff, 4.

Masalah bibir sumbing yang dihadapi anaknya, mula menjadi perbualan ramai apabila Lan berkongsi fotonya di laman sosial.

Bagaimanapun pasangan ini reda dengan kelahiran anak istimewa ini, apatah lagi Sheila sudah mengetahui kecacatan yang bakal dialami anaknya sejak berusia 27 minggu ketika dalam kandungan lagi.

Lan mengakui turut bersimpati dengan pelakon Nora Danish dan suaminya, Nedim yang berdepan kecaman netizan yang menghina anak mereka, Mohamed Neqayl Nazri Aziz atau Ney Ney.

"Tidak dinafikan saya pernah mengalami perkara itu sebaik berkongsi gambar anak. Tetapi saya kuat dan bersedia dengan pelbagai kemungkinan.

"Ada memuji kegigihan kami berdua melakukan yang terbaik untuk Nur Amna Quxandra. Ramai juga mereka yang ada pengetahuan berkenaan bibir sumbing berkongsi info dengan kami.

"Mereka hantar mesej kepada kami di Instagram untuk berkongsi ilmu. Mereka jugalah yang mengesyorkan kami agar bawa bayi ke PPUM.

"Namun, ada juga yang bagi komen negatif. Tetapi saya tidak salahkan mereka kerana apabila dilihat profil lengkap, ia adalah golongan kanak-kanak dan remaja yang kurang matang," katanya.

Lan berkata, antara komen ditulis berbunyi, kenapa dengan mulut dia tu? Hihihi...namun tidak terfikir untuk membuang komen berkenaan.

"Mulanya saya malas padam. Rupa-rupanya apabila tidak padam, ia jadi isu sesama peminat kerana ada yang marah dan memaki mereka yang menulis sebegitu.

"Akhirnya saya ambil keputusan memadamkannya agar perkara ini tidak terus berlarutan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 April 2018 @ 7:41 PM