PENGERUSI Jawatankuasa Bolasepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob (kiri). FOTO FB FAM
PENGERUSI Jawatankuasa Bolasepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob (kiri). FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selepas skuad Harimau Malaya mendapat sentuhan tonggak naturalisasi, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menolak kemungkinan mengikut jejak langkah sama dalam memperkasakan pasukan bola sepak wanita negara.

Perkara itu dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Bolasepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob yang percaya langkah memburu pemain naturalisasi serta pemain warisan mampu dilaksanakan walaupun bukan mudah.

Katanya, banyak negara di Asia sudah melaksanakan kaedah itu, begitupun masalah utama bakal dihadapi adalah untuk mengesan pemain berkualiti terbabit.

"Kita sedang mencari, tetapi belum jumpa (pemain yang bersesuaian). Malah, kita tiada pencari bakat yang pakar untuk (pemain) wanita dan ia tidak mudah, bukan macam mencari (pemain) lelaki.

"Jadi, saya seru andai sesiapa yang ada pencari bakat untuk cari pemain wanita yang kita boleh naturalisasikan, boleh ke depan dan kita akan usulkan kepada Setiausaha Agung FAM (Datuk Noor Azman Rahman)," katanya.

Sebelum ini, FAM sudah memulakan langkah memperkasakan skuad bola sepak wanita negara dengan badan induk itu mengambil jurulatih Jordan, Soleen Al-Zoubi dalam mengubah pasukan itu.

Bagaimanapun, anak didik Soleen masih gagal membawa keputusan positif dalam beberapa aksi dilalui sepanjang tahun lalu.

Untuk rekod, skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon memiliki lapan tonggak naturalisasi yang boleh dipanggil bagi memperkuatkan pasukan lelaki negara.

Antaranya Mohamadou Sumareh, Guilherme de Paula, Liridon Kransiqi, Lee Tuck, Sergio Aguero, Endrick dos Santos, Paulo Josue dan Romel Morales.

Selain bertaraf naturalisasi, skuad Harimau Malaya turut diperkuatkan dengan tonggak warisan berkaliber seperti Dion Cools, Corbin Ong, Brendan Gan, Matthew Davies, Ryan Lambert, Declan Lambert dan ramai lagi.

Susulan itu, terdapat cadangan agar skuad wanita turut mendapatkan pemain naturalisasi atau berdarah kacukan untuk menaikkan martabat pasukan Malayan Tigress.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 2:42 PM