FOTO kenangan Zulfarhan (tengah) bersama ibu bapanya.
FOTO kenangan Zulfarhan (tengah) bersama ibu bapanya.
Ernalisa Othman


IBU kepada siswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain yang maut dipercayai didera dan dibuli berkata, dia masih menyimpan suara arwah anaknya melalui Telegram sebagai penawar rindu kepada anak sulungnya itu.

Hawa Osman, 55, berkata, antara ayat yang paling dirinduinya adalah: "Mak datang esok ke. Sayang mak.. orang sayang mak."

Menurutnya, Zulfarhan yang dipanggil along sering kali menghantar pesanan suara kepadanya dengan menzahirkan rindu buat dia dan keluarga.

Ungkapan manis dari arwah yang dihantar menerusi pesanan suara kini terngiang-ngiang di telinganya.

"Memang itulah ayat yang dia kerap cakap. Rindu, sayang mak, orang sayang mak... sayang mak," katanya.

"Memang mak cik tak buang suara-suara ni. Jadi boleh dikatakan setiap kali rasa rindu mak cik buka telefon bimbit dan dengar suara dia.

"Jadi apabila arwah sudah ‘pergi’... mak cik tak dapatlah dengar ayat-ayat macam itu lagi," katanya.

Menurut Hawa lagi, selain suara arwah melalui Telegram, baju Melayu berwarna kelabu juga menjadi tempatnya melepaskan rasa rindu.

"Apabila rasa rindu, baju kelabu itu mak cik cium. Sebab dia yang pilih baju dan tema warna kelabu.

"Tapi Allah lebih sayangkan dia," katanya ketika ditemui di kediamannya dekat Bandar Baru Uda Utama di Johor Bahru.

HAWA (kanan) melihat baju Melayu Zulfarhan. FOTO Ernalisa Othman
HAWA (kanan) melihat baju Melayu Zulfarhan. FOTO Ernalisa Othman

Wanita itu berkata, dia juga terbayang keletah arwah yang sering menyakatnya.

"Nanti tahu-tahu dia muncul dekat belakang langsir terperanjatkan mak cik. Lepas tu dia peluk kita, dia ciumlah kita sambil cakap sayang mak... sayang mak."

"Memang kalau sekali sekala dia balik. Ada saja perkara dia nak menyakat," katanya.

Zulfarhan, 21, siswa yang dipercayai menjadi mangsa dera disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang, Selangor kira-kira 10 malam 1 Jun lalu.

Susulan kejadian, lima siswa UPNM dituduh membunuh pegawai kadet laut itu, manakala seorang lagi didakwa bersubahat melakukan perbuatan berkenaan.

Ketika ini, kes itu masih dibicarakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Jun 2018 @ 1:40 PM