(KIRI) WHATSAPP Mohamad Azizul  yang dihantar  ke nombor milik arwah ibunya. (kanan) MOHAMAD Azizul bersama arwah ibunya.
(KIRI) WHATSAPP Mohamad Azizul yang dihantar ke nombor milik arwah ibunya. (kanan) MOHAMAD Azizul bersama arwah ibunya.
Nur Lela Zulkipli


“JIJUL rindu puasa dengan mak, rindu nak makan berdua dengan mak, rindu nak bawa mak pergi bazar Ramadan.”

Itu luahan Mohammad Azizul Abdul Aziz, 27, yang sekian lama menyambut kemeriahanbulan Ramadan bersama ibu tercinta, namun semuanya bertukar pilu apabila terpaksa menjalani bulan mulia kali ini tanpa ibunya.

Luahan hati Mohammad Azizul itu ternyata menyentuh hati netizen apabila buat kali pertama menyambut Ramadan tanpa ibunya, Hafsah Jaafar yang dijemput Ilahi pada 10 Januari lalu.

Kelmarin, Mohamad Azizul atau ‘Jijul’ menjadi tular selepas memuat naik kiriman WhatsApp yang dihantar ke nombor milik arwah ibunya untuk meluahkan beban rindu yang ditanggung.

“Assalamualaikum mak, hari ini hari pertama puasa lepas mak dah pergi. Semua orang berbuka dengan family (keluarga) dia orang.

“Jijul hari ini sahur seorang, berbuka pun seorang. Jijul rindu puasa dengan mak, rindu nak makan berdua dengan mak.

“Rindu nak bawa mak pergi bazar Ramadan. Rindu nak rasa air tangan mak masak untuk Jijul. Macam mana Jijul nak raya tahun ini?.

“Siapa nak pilihkan baju raya untuk Jijul? Siapa nak masakkan lauk pagi raya untuk Jijul? Jijul nak salam tangan siapa pagi raya nanti?” katanya dalam pesanan ringkas itu.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu menghantar pesanan ringkas pada nombor telefon bimbit milik arwah ibunya kerana terlalu merindui satu-satunya insan yang dicintainya itu.

“Jika dulu semasa saya kehilangan ayah, saya masih terlalu kecil untuk faham. Jadi, emak seorang diri membesarkan kami tiga beradik. Kini, baru saya terasa kehilangan lubuk syurga.

“Ini adalah kali pertama kami menyambut Ramadan tanpa emak di sisi dan kami terlalu rindukan emak,” katanya.

Mohammad Azizul yang menjual roti john dan minuman di bazar Ramadan Sri Sulong, Batu Pahat, Johor turut sebak apabila teringatkan ibunya yang turut berniaga bersama-sama dulu.

“Sedih sangat rasanya kali ini. Tahun pertama puasa tanpa emak. Puasa sorang-sorang (seorang),” katanya.

Mohammad Azizul sempat berkongsi pengorbanan ibunya yang menderita kanser payudara masih gagah membesarkan mereka tiga beradik tanpa suami di sisi yang membuatkannya lebih menyayangi insan itu.

“Emak adalah insan yang paling berharga buat kami adik-beradik. Semua pengorbanannya tidak mungkin kami dapat balas sampai bila-bila.

“Bagi yang masih mempunyai ibu bapa, hargailah mereka sepenuhnya. Jangan pernah abaikan mereka dan gunakanlah masa yang ada untuk bersama dengan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 6:05 AM