Zulkarnain Idrus, 53, dan Hawa menyiram air bunga mawar di pusara anak mereka. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Zulkarnain Idrus, 53, dan Hawa menyiram air bunga mawar di pusara anak mereka. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein


IBU penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, memberitahu arwah anaknya tidak dapat pulang pada bulan puasa kerana mempunyai tugasan.

Malah, baju raya kelabu yang diminta arwah untuk dipakai tahun ini yang sudah dibeli tidak dapat ditunjukkan kepadanya.

“Arwah minta baju raya warna kelabu tahun ini dan saya sudah sediakan untuk saya, dia dan ayahnya, tetapi dia tidak sempat untuk melihatnya kerana katanya tidak dapat balik bulan puasa kerana ada kerja,” kata Hawa Osman, 54, ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kebun Teh di sini, malam tadi.

Hawa memberitahu arwah ada menelefonnya seminggu lalu, namun tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap.

Katanya, arwah sempat menasihatinya supaya menjaga diri, namun apabila ditanya kenapa suaranya seperti tidak sihat, arwah berkata dia dalam keadaan baik.

“Saya tidak tahu dia demam atau dimasukkan ke hospital kerana kali terakhir saya berjumpa dengannya pada tiga minggu lalu apabila dia pulang ke rumah.

“Alhamdulillah, semua rakan arwah memberitahu dia anak yang baik dan memang dia seorang yang sangat mengambil berat terhadap adik-beradik dan rakannya,” katanya.

Pada masa sama, Hawa berterima kasih kepada pihak UPNM dan Latihan Ketenteraan (LK) yang menghantar pegawai serta kakitangan bagi menguruskan jenazah anaknya itu.

“Terima kasih banyak-banyak kepada semua yang membantu dari hospital hinggalah selesai proses pengebumian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2017 @ 11:19 PM