Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Dia dilahirkan tanpa deria pendengaran, berikutan itu proses pembesaran menjadi seorang dewasa bagi Amril Nurman Lokman, 27, sangat mencabar berikutan kerap berdepan masalah komunikasi.

Pengalaman diri yang dilahirkan dengan masalah pendengaran serius menyebabkan dia tekad mengembangkan kemahiran berbahasa isyarat kepada OKU berkenaan, ibu bapa dan ahli keluarga mereka dengan membuka kelas secara percuma.

Baginya dengan ilmu dikembangkan itu bukan saja akan melancarkan proses komunikasi, juga menjadikan hubungan antara ibu bapa dan anak masing-masing dalam kalangan OKU pekak semakin intim.

Anak ketiga daripada empat beradik itu mengalami masalah pendengaran paling serius sejak lahir kesan daripada masalah kesihatan ibunya, Rabeah Hussain, 58, yang menghidap demam denggi ketika hamil.

Guru muda itu kini bertugas mendidik anak bangsa yang senasib dirinya di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Kuala Lumpur di Kampung Baru di sini, sejak tiga tahun lalu.

Namun dia juga mengambil inisiatif mengadakan kelas belajar bahasa isyarat percuma untuk ibu bapa yang mempunyai anak cacat pendengaran.

“Setakat ini kelas dianjurkan dua kali setiap bulan dan saya memilih hari Sabtu. Pada setiap sesi 20 ibu bapa akan hadir. Boleh kata majoriti kanak-kanak pekak suka bercakap, tetapi apa mahu disampaikan sukar difahami orang di sekeliling termasuk ibu bapa mereka sendiri.

“Sebenarnya komunikasi sangat penting dalam membentuk keperibadian kanak-kanak, jadi saya anjurkan kelas ini agar ibu bapa atau ahli keluarga tahu bahasa isyarat, sekali gus boleh berkomunikasi dengan anak masing-masing.

“Jujurnya saya tidak kisah berkorban masa kerana niat saya mahu memudahkan golongan senasib menjalani kehidupan seharian. Cuma ibu bapa diminta menyumbang RM5 sebulan untuk beli keperluan seperti kertas dan minuman,” katanya yang dibantu Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Suhaili Abd Ghani ketika ditemu bual.

AMRIL Nurman mengajar murid cacat pendengaran   di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Kampung Baru. FOTO Nurul Shafina Jemenon
AMRIL Nurman mengajar murid cacat pendengaran di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Kampung Baru. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Amril Nurman berkata, dia berasa sangat bersyukur kerana mengikut nasihat ibu yang mendorongnya untuk melanjurkan pengajian ke peringkat Sarjana Muda Pendidikan Khas Masalah Pendengaran di Institut Pendidikan Guru (IPG) Ilmu Khas Kuala Lumpur, Cheras biarpun pada mulanya dia langsung tidak meminati kerjaya guru.

“Sejak kecil saya belajar di sekolah normal, malah kebanyakan guru ketika itu kurang diberi pendedahan mengenai bahasa isyarat, jadi berlaku masalah komunikasi hingga saya langsung tidak faham apa sebenarnya yang diajar.

“Kesukaran pada masa lalu itulah membakar semangat saya untuk mendidik anak pekak supaya dapat mengharungi cabaran dunia luar.

“Kini, saya dapat merasakan satu keseronokan ketika mengajar anak murid senasib dengan saya menguasai subjek Bahasa Inggeris, Bahasa Isyarat Komunikasi, Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan di sekolah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 7:00 AM