KHUTBAH Jumaat dengan  bahasa isyarat di Masjid Tepian Putra.
KHUTBAH Jumaat dengan bahasa isyarat di Masjid Tepian Putra.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


KUANTAN: Semua yang dilakukan hanya berpaksikan niat jitu iaitu mengejar saham akhirat.

Justeru, Muhammad Nidzam Shariff Fudin, 35, nekad menjadi jurubahasa isyarat bagi golongan cacat pendengaran memahami teks khutbah yang disampaikan khatib ketika solat Jumaat.

Malah, tugas itu digalas guru Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (P) Indera Mahkota berkenaan sejak empat tahun lalu di Masjid Tepian Putra di sini.

Katanya, dia terpanggil membantu golongan istimewa itu memahami khutbah selepas pengurusan masjid mencari jurubahasa isyarat pada 2015.

“Kebetulan saya kemahiran itu, maka saya ambil tanggungjawab menjadi penterjemah bagi sekurang-kurangnya 10 orang kurang upaya (OKU) cacat pendengaran bersolat Jumaat di masjid ini.

“Saya pernah bawa anak murid (cacat pendengaran) solat Jumaat, tetapi mereka tidak faham khutbah disampaikan menyebabkan masing-masing buat hal sendiri seperti berbual dan tidur.

“Saya rasa amat perlu bantu mereka supaya memahami khutbah disampaikan supaya ibadat tidak sia-sia,” katanya yang turut mengajar murid masalah pendengaran di SK Pendidikan Khas Indera Mahkota sejak 2006.

Bapa empat anak itu berkata, kesibukannya sebagai guru tidak menghalang tugasnya sebagai jurubahasa isyarat ketika khutbah.

Muhammad Nidzam  menterjemah khutbah Jumaat dengan  bahasa isyarat di Masjid Tepian Putra.
Muhammad Nidzam menterjemah khutbah Jumaat dengan bahasa isyarat di Masjid Tepian Putra.

Jelas Graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran itu, teks khutbah yang tidak dibekalkan lebih awal antara sebab dia perlu peka apatah lagi, bahasa digunakan orang normal berbeza mengikut pemahaman orang pekak.

Muhammad Nidzam berkata, dia juga tidak menterjemahkan ayat al-Quran atau bahasa Arab yang tidak difahami kerana bimbang membawa maksud berlainan.

“Saya tiba di masjid antara jam 12.50 ke 1 tengah hari dan buat persediaan termasuk menyarungkan jubah hitam yang disediakan,” katanya yang lahir dalam keluarga pendidik.

Menurutnya, jiwanya tenang apabila berkongsi ilmu dengan golongan memerlukan dan sedia melayan pertanyaan OKU selepas selesai solat Jumaat.

“Saya anggap ini fardu kifayah. Saya perlu memanfaatkan ilmu saya untuk bantu mereka (OKU cacat pendengaran) sebagai amal dan bekalan di akhirat nanti,” katanya.

Difahamkan, inisiatif diambil pengurusan Masjid Tepian Putra dalam penyediaan jurubahasa isyarat itu julung kali diadakan di Pahang dan turut mendapat kelulusan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Muhammad Nidzam yang berasal dari Seremban memaklumkan Persatuan Orang Pekak Pahang (PADA) turut menyokong inisiatif sebagai platform terbaik membantu OKU.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 5:30 AM