RESTORAN yang dijadikan sarang judi. Gambar kecil, suspek yang ditahan dalam serbuan  di sekitar Lembah Klang. FOTO NSTP
RESTORAN yang dijadikan sarang judi. Gambar kecil, suspek yang ditahan dalam serbuan di sekitar Lembah Klang. FOTO NSTP
Nor Azizah Mokhtar

Kuala Lumpur: Dari luar kelihatan tiada apa yang aneh berikutan rata-rata pelanggan dilihat sedang leka menjamu selera sambil memegang tablet.

Namun itu modus operandi perjudian dalam talian atau judi ‘online’ yang semakin gemar beroperasi di kedai kopi mahupun restoran.

Anggota sindiket dikesan menggunakan tablet komputer atau telefon bimbit kerana ia mudah alih dan memudahkan pelanggan untuk berjudi dengan hanya duduk di meja makan.

Bagaimanapun taktik berkenaan dibongkar selepas sepasukan anggota Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menggempur empat lokasi kegiatan itu di sekitar Lembah Klang, semalam.

Dalam serbuan pertama di sebuah restoran di Pekan Lama, Petaling Jaya di sini, polis menahan seorang lelaki tempatan bersama satu tablet yang dipercayai digunakan untuk kegiatan judi dalam talian.

Dalam serbuan kira-kira jam 3.30 petang itu, polis turut merampas wang tunai RM123 dipercayai hasil perjudian.

Susulan itu, polis menyerbu sebuah lagi restoran di Dataran Mentari, Petaling Jaya pada jam 5 petang dan menahan seorang lagi lelaki tempatan yang menggunakan modus operandi sama.

Polis turut merampas sebuah tablet komputer dan wang tunai sebanyak RM127 milik suspek.

Serbuan ketiga pada jam 7.50 malam pula membabitkan sebuah restoran di Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan, dekat sini.

Dua penjaga premis lelaki Bangladesh ditahan bersama tiga kaki judi membabitkan seorang lelaki tempatan, serta dua lelaki warga asing, masing-masing warga Indonesia dan Myanmar.

Dalam serbuan itu, polis merampas lima telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk perjudian dalam talian serta wang tunai RM67.

Sementara itu, Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Norhizam Bahaman, berkata pihaknya memandang serius sebarang kegiatan perjudian atas talian dan sedang menjalankan tindakan sewajarnya bagi membendung kegiatan itu daripada terus berleluasa di negeri Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 7:59 AM