KUALA LUMPUR: Polis mengesan sindiket perjudian haram yang mengubah modus operandi (MO) mereka dengan menjadikan ‘tablet’ sebagai alat untuk berjudi susulan operasi agresif polis bagi membanteras kegiatan perjudian haram di seluruh negara.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata penggunaan tablet dilihat lebih mudah untuk sindiket ini beroperasi kerana ia tidak melibatkan mesin perjudian seperti komputer dan CPU.

“Kita kesan MO (modus operandi) ini dalam serbuan yang kita jalankan di premis snuker baru-baru ini di Seri Kembangan dan merampas beberapa buah tablet disyaki digunakan sebagai judi online... kita juga tahan beberapa individu warganegara Myanmar termasuk penjaga premis.

“Siasatan awal kita peroleh, pelanggan dapat akses untuk berjudi dalam website atau juga dikenali sebagai judi dalam talian selepas operator memberikan kata laluan... wang hasil pertaruhan diperoleh melalui transaksi akaun,” katanya di sini hari ini.

Dalam dua serbuan pada Selasa lepas antara 2 pagi dan 3 pagi, polis merampas lapan buah tablet serta menahan lapan warganegara Myanmar selepas menyerbu dua pusat snuker di Taman Perindustrian Seri Kembangan dan Serdang Raya. -Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 5:03 PM