TABLET percuma yang ditawakan premis judi kepada pengunjung.
TABLET percuma yang ditawakan premis judi kepada pengunjung.
HM Digital

Petaling Jaya: Layanan ‘lima bintang’ membabitkan sajian bufet serta pemberian tablet percuma bagi memudahkan pengunjung bertaruh judi.

Itu modus operandi premis perjudian di Bandar Sunway di sini, yang menjalankan kegiatan perjudian dalam talian bagi menarik pelanggan.

Premis yang hanya ada meja makan dan kerusi itu menjalankan pelbagai bentuk perjudian dengan nilai pertaruhan serendah RM10.

Bagaimanapun kegiatan haram itu terbongkar apabila premis itu diserbu sepasukan polis dari Bahagian Maksiat, Perjudian dan Gengsterisme (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, malam kelmarin.

Serbuan jam 9.30 malam itu menahan 11 individu termasuk penjaga premis berkenaan.

Pegawai Turus D7 Selangor Deputi Superintendan Norhizam Bahaman berkata, ketika serbuan, ada sembilan kaki judi leka bertaruh menggunakan tablet.

“Semua yang ditahan berusia 20 hingga 30 tahun itu berjudi menggunakan aplikasi dimuat turun ke dalam tablet berkenaan.

“Polis merampas tiga tablet, sembilan telefon bimbit dan RM351 dipercayai wang taruhan pemain,” katanya.

Norhizam berkata, semua tahanna dibawa ke IPD Petaling Jaya untuk disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/1963.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2018 @ 6:15 AM