Agensi

KEJADIAN buaya ‘menghantar’ mayat seorang lelaki yang hilang sejak hujung minggu lalu, di Pantai Nino, Nusa Tenggara Timur, semalam, menggemparkan Indonesia selepas rakaman video kejadian itu ke media sosial.

Orang ramai yang berada di tepi pantai itu melihat seekor buaya menggonggong jasad menghampiri pantai, kira-kira 7 pagi semalam, lalu menghubungi Balai Polis Mena.

Menurut Ketua Polis Nusa Tenggara Timur, Rishian Krisna Budiaswanto, anggota polis dikenali sebagai Agustinus Mema terus ke pantai berkenaan dan melihat mayat berkenaan sedang dibawa buaya menuju pantai.

Beliau berkata, buaya itu melepaskan mayat terbabit di pantai kira-kira 10.20 pagi dan kembali ke laut.

Siasatan mendapati mayat itu ialah Abia Sala Dopong, 26, yang hilang sejak beberapa hari lalu.

Mayat mangsa yang masih dalam keadaan baik namun ada kesan luka pada tubuhnya dipercayai akibat gigitan buaya itu, dibawa ke rumah keluarganya di Desa Humusu, Kecamatan Insana Utara.

Menurut Tribun News, portal berita Pos Kupang sebelum ini melaporkan mangsa disambar buaya di Pantai Wini, Desa Humusu, Kecamatan Insana Utara, pada 21 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2018 @ 9:59 PM
Petikan rakaman video kejadian buaya membawa mayat lelaki ke Pantai Nino,  Nusa Tenggara Timur. - Foto YouTube
Petikan rakaman video kejadian buaya membawa mayat lelaki ke Pantai Nino, Nusa Tenggara Timur. - Foto YouTube