SAAT ketika pasukan SAR membelah perut buaya yang membaham kanak-kanak lelaki di Kalimantan. FOTO Agensi
SAAT ketika pasukan SAR membelah perut buaya yang membaham kanak-kanak lelaki di Kalimantan. FOTO Agensi
Agensi

Samarinda: Mayat seorang kanak-kanak lelaki yang dibaham buaya ketika memancing bersama bapa dan adiknya di Kalimantan, Rabu lalu ditemui masih sempurna dalam perut reptilia itu.

Ketua Pasukan Mencari dan Menyelamat Kutai Timur, Bongga Losong berkata, buaya terbabit ditemui pada Khamis selepas operasi digerakkan bersama penduduk kampung dengan bantuan pawang.

Katanya, mereka terkejut menemui mayat budak lelaki berkenaan yang masih elok apabila membelah perut buaya terbabit.

"Selepas buaya ditemui, kami belah (perut) dan mengambil anaknya (mangsa), bawa ke rumah mayat. Buaya itu kita kuburkan," katanya yang memberitahu mangsa mungkin ditelan sekali gus selepas diseret ke dalam air.

Terdahulu, buaya itu dikesan 100 meter dari lokasi kejadian dan ditikam dengan tombak hingga lemah serta mati.

Dalam kejadian di Sungai Tempakul, Desa Muara Bengalon, Kutai Timur, mangsa dikatakan sempat berenang di sungai itu apabila seekor buaya menghampiri dan terus menerkamnya di hadapan ayah dan adiknya.

"Ayahnya cuba menyelamatkan anaknya tetapi gagal. Buaya bawa anak itu makin ke dalam (air)," kata Bongga seperti dilapor Kompas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 6:31 AM