Hamzah Osman


Langkawi: Hujan lebat selama dua jam menyebabkan beberapa jalan utama dan rumah penduduk di sekitar pulau ini dinaiki air, pada 6 pagi ini.

Antara lokasi terbabit ialah Jalan Batu Asah, Kelibang, Kedawang, Lebuhraya Langkawi dan Chandek Kura, selain Kampung Seberang Kelibang dan Sanusi.

Menerusi video berdurasi 23 saat, pengguna jalan raya dilihat memberhentikan kenderaan mereka apabila air naik paras pinggang di Jalan Batu Asah di sini.

Manakala satu lagi video berdurasi 25 saat, memaparkan sebuah kereta tersekat dan seorang penduduk meredah air paras pangkal paha di Kampung Seberang Kelibang.

Banjir kilat itu dipercayai berlaku apabila sistem perparitan tersumbat selepas hujan lebat.

Kakitangan awam, Saidi Saidin, 57, berkata perjalanan dari rumahnya di Kampung Nyiur Chabang ke pejabat di Kuah terbantut selepas Jalan Batu Asah tidak boleh dilalui kenderaan.

ANTARA kereta yang terperangkap di Kampung Seberang Kelibang, Langkawi. FOTO Ihsan Pembaca
ANTARA kereta yang terperangkap di Kampung Seberang Kelibang, Langkawi. FOTO Ihsan Pembaca

"Saya terpaksa berpatah balik dan menggunakan jalan alternatif untuk membolehkan sampai ke pejabat," katanya di sini.

Penghantar makanan dalam talian, Zamri Salleh, 45, hujan lebat bermula awal pagi menyebabkan air melimpah ke jalan raya dan turut masuk ke beberapa rumah penduduk di kawasan rendah.

"Saya tersekat di simpang masuk ke Taman Seri Aman di sini, selepas kawasan itu dinaiki air kira-kira satu meter dan tidak boleh dilalui kenderaan ringan," katanya.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Langkawi, Kapten (PA) Ahmad Shahfikri Darus mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian banjir kilat.

"Selain aduan mengenai jalan dinaiki air, kami turut menerima empat laporan kejadian pokok tumbang termasuk satu daripadanya menimpa surau.

"Operasi pembersihan pokok tumbang dilakukan oleh beberapa agensi penyelamat, manakala anggota polis turut melakukan kawalan lalu lintas membabitkan jalan raya yang terjejas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 12:28 PM