IBU memeluk anaknya sebelum masuk dewan untuk menduduki SPM di Dewan Haji Yaakub, SMK Naim Lilbanat, Kota Bharu. FOTO Fathil Asri
IBU memeluk anaknya sebelum masuk dewan untuk menduduki SPM di Dewan Haji Yaakub, SMK Naim Lilbanat, Kota Bharu. FOTO Fathil Asri
Mahaizura Abd Malik


443,883 calon menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di 3,363 pusat peperiksaan di seluruh negara, bermula hari ini hingga 4 Disember.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataannya, berkata daripada jumlah itu, 386,331 calon terdiri daripada sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.

8,461 calon dari sekolah bawah agensi kerajaan selain KPM manakala 8,346 (sekolah menengah agama negeri) dengan 1,976 (sekolah menegah agama rakyat).

CALON SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Malik. Alor Setar. FOTO Shahrul Hafiz Zam
CALON SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Malik. Alor Setar. FOTO Shahrul Hafiz Zam

Selain itu, calon sekolah swasta berdaftar dengan KPM pula membabitkan 14,883 orang manakala calon persedirian ialah 23,886.

Sementara itu, tinjauan di Sekolah Menengah Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan) Setapak mendapati 20 pelajar tenang mendengar taklimat terakhir dan membaca doa sebelum memasuki dewan peperiksaan.

Pembantu am, Rozita Hussin, 47, dari Port Dickson, Negeri Sembilan berkata, dia mengambil cuti sehari untuk membuat kejutan kepada anak keduanya, Muhammad Naim Abd Wahab, 19, menduduki Bahasa Melayu Kertas 1 dan 2, hari ini.

PELAJAR Sekolah Menengah Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan), Setapak, Muhammad Naim Abd Wahab, 19, bersama ibunya, Rozita Hussain, 47. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
PELAJAR Sekolah Menengah Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan), Setapak, Muhammad Naim Abd Wahab, 19, bersama ibunya, Rozita Hussain, 47. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

“Saya bergerak dari Port Dickson selepas subuh dan lega sempat bertemu Naim sebelum dia memasuki dewan peperiksaan.

“Sebagai ibu, saya hanya mendoakan yangterbaik semoga anak saya mampu menjawab soalan dengan tenang.

“Saya akan meluangkan masa sehari di sekolah ini bagi memberi semangat kepada anak saya sebelum bertolak balik ke Port Dickson petang nanti,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Naim yang buta sebelah kanan dan rabun jauh sebelah kiri sejak lahir berkata, kehadiran ibunya secara mengejut itu menyuntik semangat dirinya untuk menjawab soalan dengan lebih baik.

“Saya sememangnya gementar, namun berasa sedikit tenang apabila dapat melihat dan memeluk ibu sebelum saya masuk dewan peperiksaan.

“InsyaAllah, saya akan cuba menjawab sehabis baik dengan ilmu yang dibekalkan guru serta iringan doa guru, ibu dan ayah saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 9:43 AM