LEE menunjukkan helikopter Nuri yang menyelamatkannya. FOTO Ramdzan Masiam
LEE menunjukkan helikopter Nuri yang menyelamatkannya. FOTO Ramdzan Masiam
Shamsul Munir Safini


Butterworth: “Sampai sekarang saya mencari juruterbang helikopter Nuri yang menerbangkan saya ke hospital ketika parah akibat terkena periuk api,” kata Mejar (B) Lee Hock Sun, 60, yang cedera ketika menjalankan operasi menggempur sarang komunis dalam Ops Gubir di sempadan Malaysia-Thailand pada 1979.

Lee berkata, ketika itu, dia ketua platun dan diarahkan menggempur sarang komunis dihuni pengganas di kawasan sempadan Malaysia di Gurun, Kedah.

Beliau berkata, tempat operasi ketika itu kawasan sungai dan mereka perlu menyeberanginya untuk ke lokasi persembunyian komunis.

“Saya bersama-sama platun mengharungi sungai yang kedalamannya hingga paras paha dan berada di belakang dua anggota saya.

“Ketika berada 10 kilometer dari lokasi dan bergerak ke tebing sungai, kaki saya terpijak periuk api menyebabkan saya terpelanting dan parah di kaki kiri dan kanan akibat terkena letupan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Meraikan Anggota Cedera Hari Ulang Tahun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-84 di Pangkalan Udara Butterworth, di sini, semalam.

Lee berkata, kecederaan dialaminya parah, namun dia tidak pengsan dan ketika itu hanya Tuhan saja yang tahun penderitaan dialaminya kerana dia boleh mati bila-bila masa sahaja.

“Jika saya mati pun, saya tidak kisah, namun tidak sanggup menahan kesakitan.

“Kejadian berlaku jam 1.05 tengah hari pada 6 Oktober 1979 dan menunggu bantuan helikopter Nuri untuk diterbangkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Pada masa itu, saya sudah hilang harapan untuk hidup, namun berterima kasih kerana lima jam kemudian, helikopter Nuri tiba,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 7:11 AM