Dr Nor Ibrahim menunjukkan buku mengenai perjuangan anggota TUDM menentang komunis yang ditulisnya. FOTO Bernama
Dr Nor Ibrahim menunjukkan buku mengenai perjuangan anggota TUDM menentang komunis yang ditulisnya. FOTO Bernama
BERNAMA

MENJELANG Hari Kebangsaan, sering disajikan dengan pelbagai kisah pejuang ketika era penentangan komunis, kebiasaannya kalangan anggota mahupun pegawai Tentera Darat Malaysia (TDM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kali ini bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mejar (B) Dr Nor Ibrahim Sulaiman, 70, turut berkongsi pengalaman berharga ketika berhadapan dengan ancaman komunis.

“Peranan TUDM juga sangat besar, malah saya sebagai bekas juruterbang helikopter Nuri, sebenarnya menghadapi ancaman lebih kritikal kerana ‘kami diburu, bukan pemburu’,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Jitra, Kedah baru-baru ini.

Beliau berkata, tidak seperti anggota TDM, sebagai juruterbang helikopter yang sering keluar masuk ke kawasan operasi untuk mengangkut pelbagai keperluan anggota, ‘kelibatnya’ sentiasa diintai komunis dan menjadi sasaran peluru pengganas.

“Komunis ini dia tunggu saja helikopter datang, kemudian mereka serang ketika kami ‘terapung’ di udara untuk ambil anggota yang meninggal atau cedera dan bila diserang, saya tidak boleh buat apa-apa, bukan senang nak bertempur bila pegang stereng pesawat,” katanya.

Nor Ibrahim yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak berkata, beliau juga pernah menempuh pengalaman menerbangkan Nuri yang satu daripada generatornya sudah tidak berfungsi akibat ditembak pengganas komunis.

“Saya tidak mahu tinggalkan helikopter itu di kawasan yang tidak selamat, jadi saya cekalkan hati, terbangkan Nuri dan Alhamdulillah saya selamat tiba di pangkalan dan berada di sini untuk menceritakan kisah ini kepada kamu semua,” katanya.

Beliau berkata, sejurus tiba di pangkalan, helikopter yang ditembak segera diperbaiki, setiap lubang kesan peluru ditampal dan selepas selesai dan dipastikan selamat, ia terbang semula untuk melaksanakan tanggungjawab menghantar bekalan atau anggota ke kawasan operasi.

“Tugas kami sangat penting, Nuri ini umpama ‘nyawa’ kepada anggota di kawasan operasi, kamilah yang hantar bekalan makanan, bawa keluar masuk anggota cedera atau meninggal,” katanya.

Menceritakan pengalamannya, pemegang Ijazah Kedoktoran dalam kajian khusus berkaitan Nuri itu berkata, antara yang paling tidak dapat dilupakannya adalah ketika satu konvoi Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) diserang hendap komunis di satu jalan berhampiran Gubir di Sik, yang mengakibatkan lima wira negara gugur.

Nor Ibrahim berkata, selepas serangan pada April 1975 itu, beliau yang ketika itu baru memegang jawatan pembantu juruterbang, diarah pergi ke lokasi serang hendap itu untuk membantu mengeluarkan mayat dan anggota cedera.

“Bila sampai ke lokasi, kami tidak boleh mendarat pun sebab banyak jerangkap samar di situ, jadi kami hanya terapung di udara, di bawah saya nampak ramai cedera dan mayat sudah diikat pada tali untuk ditarik naik ke helikopter.

“Keadaan agak sukar untuk menaikkan mayat pada masa itu, saya peluk satu mayat, penuh darah dia di badan saya.

“Mayat itu kawan saya Pegawai Risik, Kapten Hardev Singh, sebelum kejadian saya sempat minum di Butterworth dengan mendiang dan dia cakap ‘jumpa anda di Gubir’.

“Bila di Gubir, memang betul saya ‘jumpa mendiang’… selepas kejadian itu isterinya beritahu terdapat 18 lubang pada badan mendiang,” katanya yang mengenang peristiwa itu sebagai pencetus baginya untuk berkongsi kisah di blog Jottings of Xnuripilot.

Beliau yang juga seorang daripada 32 penerima Pingat Tentera Udara (PTU) berkata, walaupun tidak mahir menggunakan komputer, beliau tetap bersemangat untuk menulis kisah perjuangan terdahulu agar generasi kini tahu bahawa komunis langsung tidak boleh diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan.

“Bagi saya orang muda kurang patriotik bukan 100 peratus salah mereka, tapi tiada orang nak cerita sejarah ini, sebenarnya ramai veteran askar berminat nak bercerita tapi tiada platform, nak tunggu hari Merdeka baru nak panggil.

“Seeloknya perkara seperti ini perlu didedahkan sepanjang tahun, jemputlah orang seperti saya untuk bercerita terutama di sekolah, jabatan kerajaan atau institusi pengajian,” katanya yang sentiasa bersemangat untuk berkongsi kisah kekejaman komunis dan mahu semua tahu bahawa mempelajari sejarah itu sangat penting.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 9:06 AM