PERALATAN judi yang dirampas hasil serbuan di Taman Puchong Utama, Puchong. FOTO NSTP
PERALATAN judi yang dirampas hasil serbuan di Taman Puchong Utama, Puchong. FOTO NSTP
Norizuan Shamsuddin


Subang Jaya: Sengaja mengunci pintu dari luar bagi mengaburi pihak berkuasa selain mengupah ‘jaga air’ untuk mengawal pintu masuk pusat judi dalam talian.

Malah pelanggan yang mahu memasuki premis perlu berjumpa penjual air yang berniaga di tepi pintu masuk premis untuk ‘ditapis’ identiti terlebih dahulu.

Itu antara taktik dikesan digunakan sindiket pusat judi atas talian beroperasi di Jalan PU 7/4, Taman Puchong Utama, di sini.

Bagaimanapun, kegiatan mereka terbongkar apabila sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya melakukan serbuan di lokasi berkenaan semalam.

Dalam serbuan sekitar jam 1 pagi itu, polis menyerbu dua premis dikesan menjalankan aktiviti judi dalam talian di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, polis berjaya menahan sembilan individu termasuk dua wanita warga asing membabitkan penjaga dan kaki judi.

Katanya, polis kemudian merampas peralatan judi dianggar bernilai lebih RM300,000 yang digunakan di dua premis berkenaan.

“Dalam serbuan pertama kami menahan empat individu termasuk dua wanita warga Indonesia disyaki penjaga premis dan merampas 14 set komputer.

“Manakala serbuan kedua dilakukan di premis berdekatan sebelum polis berjaya menahan lima lelaki termasuk seorang warga Bangladesh dan merampas enam mesin simulator bersama 22 set komputer.

“Polis turut merampas wang tunai hasil judi sebanyak RM600 dari dua premis itu,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan semalam.

Azlin berkata, kesemua suspek berusia 20 hingga 50-an terbabit ditahan bagi tindakan lanjut.

Katanya, hasil soal siasat mendapati premis itu beroperasi sejak beberapa bulan lalu secara berselindung termasuk dengan mengunci pintu hadapan ptremis bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Kami akan meneruskan operasi ini dalam usaha membanteras aktiviti perjudian tanpa lesen di daerah ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2017 @ 5:23 AM