FOTO ihsan pembaca
FOTO ihsan pembaca
Hazsyah Abdul Rahman


DUA kanak-kanak maut apabila lori membawa muatan tong gas petroleum cecair (LPG) dinaiki terbabas, terhumban ke gaung dan terbakar di Kampung Pampang, Batu 10, Sandakan, malam tadi.

Marcilla, 5, dan Amanda Fairuz, 8, ditemui rentung selepas dipercayai terperangkap dalam kenderaan berat itu, dalam kejadian kira-kira 7 malam.

Asim Taladu, 32, cedera, manakala wanita dikenali sebagai Ikin, berusia dalam lingkungan 20-an, melecur 70 peratus di bahagian badannya.

Lelaki dan wanita itu dikejarkan dengan ambulans ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan, untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Bagaimanapun, hubungan antara mangsa masih belum dapat dipastikan.

Jurucakap bomba ketika dihubungi berkata, pihaknya mendapat maklumat berhubung kejadian itu pada 7.13 malam.

Beliau berkata, dua jentera dengan kekuatan 10 anggota dikejarkan ke lokasi sebelum tiba kira-kira 15 minit kemudian.

"Bomba terus melakukan operasi pemadaman sebelum api berjaya dikawal pada jam 7.54 malam," katanya.

Katanya, mangsa yang meninggal dunia sudah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2017 @ 11:33 PM