Basikal ditemui lemas ketika memukat ikan di kolam loji rawatan air di Batu 25, dekat Sandakan. FOTO Ihsan Bomba
Basikal ditemui lemas ketika memukat ikan di kolam loji rawatan air di Batu 25, dekat Sandakan. FOTO Ihsan Bomba
Hazsyah Abdul Rahman


LELAKI berusia 57 tahun yang hilang ketika memukat ikan di kolam loji rawatan air di Batu 25, dekat Sandakan, malam semalam, ditemui lemas hari ini.

Pada kejadian jam 10.20 pagi itu, mayat mangsa dikenali sebagai Basikal Sunsurang ditemui oleh anggota penyelamat kira-kira 32 meter (m) dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Abdul Kadir Halalan berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan berhubung kehilangan mangsa daripada penduduk kampung pada jam 7.30 malam semalam.

Beliau berkata, susulan itu, sepasukan 13 anggota dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Katanya, operasi turut menggunakan bot aluminium dan membabitkan anggota Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA).

"Bagaimanapun, operasi dihentikan akibat keadaan gelap dan bersambung semula pada pagi tadi.

"Mayat mangsa kemudian ditemui pada jam 10.20 pagi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa sudah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Mayat kemudian dihantar ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan," katanya.

Pada kejadian kira-kira jam 7 malam semalam, Basikal dikatakan pergi memukat ikan bersama beberapa rakannya di kolam loji air berkenaan.

Difahamkan, pukat itu tersangkut di dasar kolam dan lelaki terbabit dikatakan menyelam untuk menarik bahagian pukat itu.

Bagaimanapun, dia tidak timbul menyebabkan rakannya mencari lelaki itu.

Selepas gagal menemui Basikal, rakan lelaki itu kemudian melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 3:52 PM