Rosli Ilham


DUA beranak termasuk bayi berusia tujuh bulan maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 65, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Dungun, hari ini.

Dalam kemalangan 1.40 tengah hari, Nurbani Fartini Ahmad Farnizar, 25, yang parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian manakala bayinya, Nur Fauzana Mohd Nazrin berusia tujuh bulan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Dungun.

Difahamkan, dua beranak terbabit yang duduk di sebelah pemandu tercampak keluar daripada kereta dipandu suami mangsa, Mohd Nazrin Nizam, 25.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki tiga beranak dari arah Kuala Terengganu ke Dungun terbabas selepas tayar belakang kereta itu meletup.

Akibat kejadian itu, kereta berkenaan merempuh tiang elektrik di atas pembahagi jalan sebelum terbalik.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Beliau berkata, jenazah mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat manakala pemandu kereta berkenaan yang tinggal di Kampung Pulau Serai, dekat sini hanya cedera ringan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2017 @ 4:00 PM
KEADAAN kereta yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 65, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Dungun. FOTO Rosli Ilham
KEADAAN kereta yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 65, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Dungun. FOTO Rosli Ilham