LAKARAN suspek yang diburu polis berhubung kes samun. FOTO ihsan Polis
LAKARAN suspek yang diburu polis berhubung kes samun. FOTO ihsan Polis
Nabihah Kamal

 

POLIS memburu dua lelaki berusia lingkungan 20-an yang menjadi suspek kes samun di Kampung Masjid, Bangi, Jumaat lalu yang mengakibatkan remaja perempuan parah.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, melalui keterangan saksi, pihaknya sudah mengenal pasti suspek dan kini sedang giat memburu dua lelaki itu.

"Seorang suspek berkulit gelap dan ketinggiannya 170 sentimeter (cm) manakala seorang lagi berkulit gelap dan bertocang.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun megakibatkan kecederaan," katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Zazali Kenek di talian 019-7100662 atau Balai Gerakan Kajang di 03-87336580.

Jumaat lalu, Syazana Amirah Asshaari, 14, diserang dengan menggunakan senjata tumpul hingga mengakibatkan kecederaan di bahagian kepala dan rahang mangsa.

Difahamkan seorang suspek menunggu di luar rumah, manakala seorang lagi memecah masuk rumah mangsa sebelum mencederakan remaja itu dan melarikan dua telefon bimbit dan dompet milik ibunya.

Dua suspek kemudian melarikan diri menaiki motosikal Yamaha 100.

Mangsa yang juga anak keempat dari enam beradik itu mengalami kecederaan parah dan empat giginya juga patah berikutan insiden itu.

 

Berita berkaitan:

'Kenapa buat adik macam ini'

Apa salah Syazana Amirah?

Penyamun laknat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2017 @ 1:31 PM