PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan dividen kepada pekebun kecil di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah. FOTO Farizul Hafiz Awang
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan dividen kepada pekebun kecil di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah. FOTO Farizul Hafiz Awang
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

SERAMAI 33,864 peserta RISDA menerima dividen yang keseluruhannya berjumlah RM106.81 juta, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata daripada jumlah itu, 17,784 adalah peserta Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) dan 16,080 peserta Tanam Semula Komersial (TSK).

Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding RM95.59 juta tahun lalu.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tiga kanan) menunjukkan replika cek dividen Risda di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah. FOTO Farizul Hafiz Awang

Dalam ucapannya Najib berkata, kerajaan sentiasa berusaha untuk mengimbangi pembangunan di bandar dan luar bandar bagi memastikan semua rakyat menikmati manfaat yang sama.

Katanya, pembangunan di Malaysia unik kerana dilaksanakan secara adil dan saksama di kedua-dua kawasan itu.

"Berbeza dengan negara lain yang pembangunannya tertumpu kepada kawasan ibu kota atau pusat pentadbiran sahaja.

“Tetapi di Malaysia, kita sedaya upaya pastikan agenda pembangunan luar bandar diteruskan secara adil dan saksama.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian dividen RISDA dan pelancaran Skim Bantuan Khairat Kematian Pekebun Kecil di Pekan.

Hadir sama, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Timbalannya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainal Abidin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2017 @ 5:29 PM