ISMAIL  menyampaikan cek sumbangan Skim Tabungan Tabika KEMAS Kuala Kangsar kepada Pengerusi Jawatankuasa Tabika KEMAS Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Mior Ahmad Zaki Mior Aminuddin.
ISMAIL menyampaikan cek sumbangan Skim Tabungan Tabika KEMAS Kuala Kangsar kepada Pengerusi Jawatankuasa Tabika KEMAS Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Mior Ahmad Zaki Mior Aminuddin.
myMetro

Kuala Kangsar: RISDA Perak memperuntukkan RM11.8 juta sebagai dividen pada tahun ini kepada peserta Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) dan Tanam Semula Komersial (TSK).

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, RM6.3 juta diberikan kepada peserta di daerah Kuala Kangsar.

Menurutnya, pekebun kecil perlu dibangunkan secara holistik dari aspek manusia dan pembangunan tanah supaya produktiviti dan pendapatan mereka dapat ditingkatkan.

“Ia selaras dengan dasar kerajaan yang memberi penekanan kepada sektor pertanian dan pembangunan bagi masyarakat luar bandar.

“Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan RM94.5 juta dividen RTBB dan TSK peringkat nasional dan memberi pelbagai bantuan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Dividen RISDA Negeri Perak dan Penyerahan Sumbangan Skim Tabungan Tabika KEMAS Kuala Kangsar di sini, kelmarin.

Menurutnya, RISDA dan KEMAS berjaya memainkan peranan secara aktif dan bertanggungjawab dalam membantu meningkatkan taraf hidup rakyat di luar bandar.

“Apa yang perlu dilakukan ialah kita perlu mengubah minda dan sikap untuk lebih berani menceburi bidang baru yang boleh memberi pulangan menguntungkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2016 @ 7:49 AM