REEZAL  bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Logo Program Pembangunan Hoki Kebangsaan (NHDP) di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. FOTO Bernama
REEZAL bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Logo Program Pembangunan Hoki Kebangsaan (NHDP) di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan semua program latihan berpusat secara kuarantin membabitkan atlet di bawah Program Podium dan Program Pelapis Kebangsaan akan berakhir hari ini.

Serentak dengan itu katanya program yang membabitkan 28 jenis sukan itu akan bertukar status kepada program latihan berpusat secara terkawal dengan beberapa kelonggaran diberikan.

"Mereka sudah menjalani program latihan berpusat selama lebih dua bulan. Mereka pun sudah sampai ke tahap tepu. Disamping kita mahukan tahap kecergasan, kompetitif dan keupayaan bersaing daripada atlet, tahap mental mereka juga perlu dirawat.

"Jadi saya memikirkan sudah sampai waktu dan ketikanya bahawa ia perlu diberi kelonggaran," katanya selepas melakukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) Liga Hoki Malaysia (MHL) semalam.

Reezal turut memuji semua barisan atlet dan jurulatih kerana komited memenuhi tuntutan sepanjang program latihan berpusat.

"Keseluruhan mereka hampir mencecah 800 orang di empat pusat, iaitu di (Kompleks Majlis Sukan Negara) Bukit Jalil, Bukit Kiara (Akademi Badminton Malaysia), Kampung Pandan (Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik) dan juga Langkawi (Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan).

"Saya harap dengan pelepasan ini mereka dapat menjalani latihan seperti biasa memandangkan kadar positif Covid-19 sudah menurun. Tapi mereka perlu sentiasa dipantau dan terus mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 2:16 PM