WAN Sukairi akui semua pasukan akan beraksi di bawah kemampuan sebenar. FOTO NSTP
WAN Sukairi akui semua pasukan akan beraksi di bawah kemampuan sebenar. FOTO NSTP
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri berpandangan tidak adil Liga Malaysia (Liga M) diteruskan mengikut jadual pada 5 Mac depan jika latihan di padang tidak dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Demikian reaksi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah yang berpandangan latihan perlu dibenarkan dalam tempoh PKP dengan syarat prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Kita berpandangan untuk keadilan kepada semua pasukan yang bertanding, pemain perlu dibenarkan menjalani latihan dan aksi persahabatan kerana ia penting buat jurulatih menganalisa kekuatan dan kelemahan pasukan serta mengelak pemain mengalami kecederaan.

"Jika tidak sudah tentu semua pasukan akan beraksi di bawah kemampuan sebenar, jadi tidak adil kepada semua pasukan, kecuali liga dianjakkan dan latihan dibenarkan jika penganjur mahu kekal dengan tarikh berkenaan.

"Namun saya percaya pihak penganjur akan mengambil kira semua faktor ini sebelum membuat sebarang keputusan muktamad," katanya ketika ditemui di Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) semalam yang turut dihadiri Pengarah MSNT, Ahmad Shahrizal Yahaya.

Dalam pada beliau berkata, kerajaan negeri menyokong penuh dan menyambut baik

usaha yang dilakukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang memohon kelonggaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan sektor sukan dan rekreasi beroperasi dalam tempoh PKP ini.

Katanya, permohonan yang dikemukakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican itu penting demi kelangsungan atlet selain faktor ekonomi.

"Kerajaan negeri mengharapkan kelulusan daripada MKN agar dapat beri kelonggaran bagi sektor itu walaupun dalam tempoh PKP dengan perjuangan menurunkan lekuk pendemik Covid- 19 tidak sesekali diabaikan bagi memastikan industri sukan negara dan negeri terus kekal utuh bagi melahirkan masyarakat Malaysia yang aktif dan cergas.

"Kita juga berjanji akan bersama-sama memastikan amalan-amalan pencegahan

penularan jangkitan Covid-19 menjadi keutamaan dalam menghidupkan semula industri

sukan tanah air di samping atlet-atlet kita dapat meneruskan latihan sukan masing-masing secara berpusat dan lebih berkesan.

"Kita juga berharap agar semua pihak dapat memberi kerjasama dan menunjukkan tahap

disiplin yang tinggi untuk mengikuti segala SOP serta ketetapan yang bakal dibuat

supaya kelulusan yang diberikan oleh MKN nanti dapat dimanfaatkan sepenuhnya

demi kesihatan dan kelangsungan sukan keseluruhan."Kerajaan negeri mengucapkan terima kasih

kepada Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas keprihatinan

beliau untuk mendengar dan meneliti cadangan yang dibentangkan oleh KBS yang

tentunya memberikan kelegaan kepada penggiat sukan negara sekiranya cadangan

tersebut diluluskan," katanya.

Terdahulu Datuk Reezal Merican memaklumkan keputusan mengenai pembukaan semula sektor sukan dan rekreasi dalam tempoh PKP dijangka diketahui dalam tempoh terdekat selepas pihaknya sudah pun membentangkan permohonan kelonggaran untuk pembukaan sektor itu dalam Mesyuarat Teknikal MKN.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 12:02 PM