HAFIZH sebelum berlepas ke Qatar.
HAFIZH sebelum berlepas ke Qatar.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Baru pulih daripada pembedahan membuat plat besi di tangannya, pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah kembali mencetuskan resah apabila mendedahkan mengalami kecederaan di bahagian belakang sebelum berlepas ke Qatar semalam untuk beraksi pada pusingan pertama Kejohanan Motosikal Dunia.

Jelas pelumba NTS RW Racing GP itu, dia mengalami kesakitan di bahagian belakang pinggang dua hari sebelum berlepas ke Qatar.

"Saya terpaksa berjalan menggunakan tongkat dan kemudian meminta tukang urut untuk melakukan urutan di bahagian belakang. Selepas itu saya boleh berjalan seperti biasa, cuma masih ada rasa sengal sedikit.

"Harap saya dapat pulih sepenuhnya di Qatar nanti kerana saya mahukan keputusan yang bagus pada musim ini untuk penaja serta penyokong yang sentiasa memberi sokongan kepada saya," katanya sebelum berlepas ke Qatar semalam.

Hafizh turut mengakui musim ini berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana dia bersama pasukan tidak meletakkan satu sasaran spesifik.

"NTS baru tiga tahun di Kejohanan Dunia. Saya sertai pasukan ini untuk bantu mereka membangunkan chasis NTS kerana mereka percaya kepada pengalaman dan keyakinan saya ketika berlumba.

"Jika memperoleh mata atau saya dapat menamatkan perlumbaan di kedudukan lima terbaik, ia adalah satu bonus untuk pasukan. Yang penting pasukan memberi kerjasama sangat baik kerana setiap input atau idea yang saya berikan mereka akan cuba penuhi permintaan saya," katanya.

Hafizh akan beraksi pada sesi ujian rasmi bermula Jumaat ini sebelum menyertai Grand Prix (GP) Qatar di Litar Antarabangsa Losail pada pusingan pembuka tirai seminggu selepas itu serta pusingan kedua di litar sama, 4 April depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 2:24 PM