HAFIZH gagal mencatat masa meyakinkan sepanjang ujian pramusim.
HAFIZH gagal mencatat masa meyakinkan sepanjang ujian pramusim.
Saiful Affendy Sapran

MESKIPUN melalui sesi ujian pramusim yang agak hambar, pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah tetap bersikap positif menjelang pusingan pertama Kejohanan Motosikal Dunia di Litar Antarabangsa Losail, Qatar hujung minggu ini.

Pelumba Red Bull KTM Tech3 itu mengakui dia serta rakan sepasukan menempuh detik sukar sepanjang ujian pramusim tetapi kekal percaya prestasi jentera akan terus meningkat secara berperingkat.

"Saya sememangnya amat menantikan perlumbaan pertama musim ini. Kami melalui saat sukar pada ujian pramusim di mana kami sedang cuba untuk memahami jentera secara berperingkat.

"Walaupun jentera kami masih agak perlahan tetapi saya percaya kami dapat berada di kelompok depan dengan kerjasama daripada rakan sepasukan," katanya.

Untuk itu, Hafizh berkata dia dan pasukan akan terus bekerja keras, cuba memahami segala situasi dan kemudian bersedia menghadapi perlumbaan pembuka tirai musim ini.

"Sama-sama kita nantikan apakah yang boleh kami lakukan. Saya sendiri mahu berada di kelompok depan berbanding ketika ujian pramusim," katanya.

Hafizh serta rakan sepasukan, Miguel Oliveira dilihat bergelut sepanjang ujian pramusim apabila catatan masa dilakukan menyaksikan kedua-duanya menduduki kelompok belakang.

Hafizh hadir pada musim keduanya di MotoGP dengan memegang status selaku pelumba rookie kedua terbaik musim lalu selepas Franco Morbidelli.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 6:29 PM