DARREN (tengah) meraikan jaringan ketika menentang Melaka United.
DARREN (tengah) meraikan jaringan ketika menentang Melaka United.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penyerang Petaling Jaya City (PJ City FC), Darren Lok menyifatkan dua gol dicipta setakat ini permulaan cukup baik untuknya kembali membina nama selepas sekian lama bergelut dengan prestasi sendiri.

Darren yang sebelum ini beraksi bersama Terengganu FC mengakui prestasinya musim lalu tidak memuaskan apabila jarang diturunkan dalam kesebelasan utama sebelum dia dipinjamkan ke Terengganu FC II.

Justeru, dua perlawanan awal Liga Super membuktikan kembali kemampuan pemain berusia 30 tahun ini yang ternyata dapat memberi impak kepada pasukan di bahagian serangan apatah lagi PJ City FC musim ini menggunakan keseluruhan khidmat pemain tempatan tanpa import.

Dua gol dijaringkannya ketika menentang Melaka United FC pada Rabu lalu yang menyaksikan perlawanan itu berakhir seri 2-2 dan sudah pasti, Darren mengharapkan aksi berdepan Sabah FC, malam esok akan membuahkan hasil lebih positif untuk mereka membawa pulang tiga mata penuh.

"Sememangnya ia permulaan sangat positif untuk diri saya kerana memang sudah lama tidak dapat momentum sempurna seperti ini. Sebelum ini saya agak kecewa kerana merasakan sudah terlewat untuk menjaringkan gol pada musim lalu tetapi sekarang bersyukur dengan apa yang saya ada bersama pasukan baharu.

"Cuma apa yang saya buat ketika ini bukan semata-mata untuk prestasi peribadi sahaja, tetapi sejauh mana saya dapat menyumbang kepada pasukan ini untuk berada di tahap terbaik musim ini," jelasnya.

KUMAAHRAN (kanan) ledak dua gol dalam dua perlawanan. FOTO FB MUSA
KUMAAHRAN (kanan) ledak dua gol dalam dua perlawanan. FOTO FB MUSA

Selain Darren, pemain tengah Melaka United FC, S Kumaahran juga mencuri tumpuan selepas turut meledak dua gol dalam dua perlawanan setakat ini dalam saingan Liga Super.

Dia yang sebelum ini beraksi di bek kanan ketika bersama Pahang musim lalu mengakui kini berasa lebih yakin untuk membantu pasukan sekali gus mencipta kembali karier apabila turut pernah bergelut dengan kecederaan ACL pada Sukan Sea 2017.

"Musim lepas peluang untuk saya menjaringkan gol memang agak susah dan musim ini selepas berjaya melakukan dua gol untuk dua perlawanan, saya rasa lebih yakin untuk mendapatkan semula prestasi terbaik bagi musim 2021.

"Saya sudah lama tidak meledak gol sebenarnya dan mula-mula memang tidak sangka apabila berjaya melakukannya bersama pasukan ini kerana saya tahu selepas bergelut dengan kecederaan ACL, semuanya kelihatan begitu sukar untuk kembali bangkit.

"Apabila saya bersama pasukan JDT II (Johor Darul Ta'zim) pada 2018, saya fokus kepada proses pemulihan di sana dan ternyata semuanya berjalan dengan lancar sebelum akhirnya saya mendapat semula kekuatan untuk mula bermain," kata Kumaahran.

Melaka United FC dan PJ City FC masing-masing masih belum memenangi perlawanan apabila mencatat keputusan seri dalam dua perlawanan setakat ini.

Skuad kendalian Zainal Abidin Hassan ini semestinya akan hadir dengan perancangan lebih teratur untuk meraih tiga mata pertama apabila bakal menerima kunjungan Sri Pahang FC pada malam esok di Stadium Hang Jebat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 5:43 PM