PENYERANG, Darren Lok meraikan jaringannya ketika menentang Bangladesh di perlawanan kelayakan Piala Asia 2023, Jun lalu. FOTO ARKIB NSTP
PENYERANG, Darren Lok meraikan jaringannya ketika menentang Bangladesh di perlawanan kelayakan Piala Asia 2023, Jun lalu. FOTO ARKIB NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penyerang PJ City, Darren Lok mahu menjaringkan lebih banyak gol di pentas Liga Super supaya namanya terus mendapat perhatian pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon.

Walaupun dilihat terpaksa bergelut untuk bersaing dengan penyerang import pasukan lain, Darren percaya dengan 10 gol yang sudah dicetak pada musim ini membuktikan dia mampu menjadi peledak terbaik untuk skuad Harimau Malaya.

Katanya, perkara penting ketika ini adalah sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk PJ City selain mengelak daripada berhadapan kecederaan serius yang boleh meranapkan impian untuk beraksi cemerlang.

"Saya ada sasaran berapa jaringan mahu dilakukan, tetapi mahu rahsiakan untuk diri sendiri, maaf saya tidak boleh beritahu buat masa ini.

"Selain itu, saya rasa berada dalam landasan betul dan harap prestasi ini dapat diteruskan dalam satu jangka masa panjang kerana mahu dipanggil dalam skuad kebangsaan terutama perlawanan persahabatan pada pada September nanti selain Piala Asia dan Piala AFF," katanya.

Musim lalu, Darren sekadar menjaringkan enam gol dengan tiga gol masing-masing di Liga Super dan Piala Malaysia selepas tidak boleh bermain dalam 13 aksi Liga Super ekoran kecederaan di bahagian fibula.

Darren kini antara pemain tempatan yang berada dalam lima kelompok penjaring terbanyak setakat ini.

Sementara itu, Darren mengharapkan tuah terus memihak kepada PJ City pada baki perlawanan Liga Super dalam usaha memperbaiki kedudukan pasukan.

"Berbaki beberapa perlawanan lagi, saya rasa PJ City masih berpeluang, cuma cabaran musim ini lebih sukar kerana pasukan lain mempunyai kualiti pemain semakin baik terutama pemain import.

"Namun, kami cuba untuk berikan saingan dan harap kemenangan dapat membangkitkan kembali semangat PJ City kerana masih ada kesempatan untuk mendaki carta liga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 6:36 PM