DARREN Lok (tengah) terus jadi sandaran gegar gawang lawan.
DARREN Lok (tengah) terus jadi sandaran gegar gawang lawan.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Semangat dan keyakinan diri pemain Petaling Jaya (PJ) City FC masih belum luntur biarpun dilihat bergelut dalam usaha mereka mencari kemenangan pada saingan Liga Super musim ini.

Setakat ini, skuad bimbingan P Maniam itu yang menggunakan 100 peratus pemain tempatan sekadar meraih dua kemenangan selain enam seri dan tujuh kekalahan selepas mengharungi 15 perlawanan.

Ketua Pegawai Eksekutif PJ City, Ganesh Shanmugam menegaskan semangat, keyakinan dan moral pemain pasukan itu masih tinggi bagi mengharungi perlawanan Liga Super seterusnya menentang Sarawak United FC, di Stadium Negeri, Kuching, malam esok.

"Moral dan semangat pemain PJ City masih di tahap baik dan memuaskan walaupun diakui kami sudah lama tidak menang sejak pertengahan April lalu.

"Namun begitu, pasukan akan terus berusaha memantapkan pasukan dan meningkatkan lagi prestasi dalam persembahan bagi memastikan tiga mata dapat diraih pada perlawanan menentang Sarawak United, biarpun beraksi di gelanggang lawan.

"Pertembungan dengan Sarawak amat penting bagi pasukan ini mendapatkan tiga mata supaya pasukan mendapat kembali rentak sepertimana yang telah dipamerkan pada awal musim," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau sedar pemain pasukan itu perlu bangkit dengan persembahan lebih baik dan seterusnya mendapatkan kemenangan untuk membantu pasukan memperbaiki kedudukan dalam carta liga.

Ganesh menuntut pemain pasukan itu untuk terus fokus dan bekerja keras mengikuti segala perancangan jurulatih, bagi membantu pasukan mendapatkan kemenangan.

Beliau percaya pemain PJ City yang berpengalaman seperti Darren Lok, Mahali Jasuli, Mohamad Khyril Muhaimeen, K Gurusamy, R Kogileswaran dan S Kumaahran mampu menggalas cabaran berdepan Sarawak dengan baik serta berupaya membawa kemenangan kepada pasukan.

"Saya sudah menemui pemain untuk memberikan kata-kata semangat dengan harapan mereka dapat mempamerkan prestasi sebenar pada perlawanan menentang Sarawak itu nanti sekali gus berupaya mencatat keputusan positif."

Walaupun beraksi di tempat lawan namun itu bukan suatu halangan untuk mereka bangkit mencipta kemenangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2022 @ 7:18 PM